Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Pasir Salak dikuasai oleh Inggeris

784
SHARE

PADA hari ini 15 November dalam tahun 1875, Pasir Salak telah diserang dan dikuasai oleh angkatan tentera Inggeris.

Serangan yang dilakukan itu adalah sebagai tindak balas Inggeris terhadap Sultan dan pembesar-pembesar Melayu Perak bersabit dengan pembunuhan Residen Pertama Inggeris di Perak, J.W.W. Birch.

Melalui Perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani oleh Sultan Abdullah dengan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke, pada 20 Januari 1874 Negeri Perak terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.

Fungsi Residen Inggeris adalah sebagai penasihat kepada semua perkara pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perak. Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris di Singapura J.W.W. Birch telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama bagi negeri Perak.

Tindakan pertama Birch ialah mengubahsuaikan adat istiadat Melayu dan menjadikan negeri Perak seperti tanah-tanah jajahan Inggeris di Negeri-negeri Selat yang mendatangkan banyak hasil kewangan bagi penjajah Inggeris.

Tindakan sedemikian telah ditentang oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak juga oleh Sultan sendiri. Akibatnya pada waktu Subuh 2 November 1875 Birch diserang dan dibunuh. Pembunuhan Birch telah menggemparkan pegawai-pegawai Inggeris di Perak dan di Negeri-negeri Selat.

Pada 7 November 1875 Inggeris telah menghimpunkan satu angkatan tentera yang besar lalu menyerang Pasir Salak tetapi tidak berjaya.

Menyedari akan tentangan orang-orang Melayu begitu hebat, pihak berkuasa Inggeris di Negeri-negeri Selat meminta bantuan tentera dari India dan Hong Kong untuk melancarkan serangan kedua dengan menggunakan kapal perang dan askar-askar yang lengkap dengan senjata serta berjaya menawan Pasir Salak pada hari ini dalam tahun 1875.

Sesungguhnya pembunuhan Birch ini telah memberi peluang keemasan penjajahan Inggeris menjadikan alasan utamanya mencerobohi dan menakluki Negeri Perak serta menggunakan kekerasan tentera.

Kredit sumber : Arkib Negara Malaysia 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)