Home Berita PAS Melaka

Nabi SAW ditarbiah sedari kecil untuk menjadi Rasul – Datuk Kamarudin

776
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 15 Nov : “Nabi Allah dihilangkan tempat pergantungan hidup supaya Baginda SAW cekal dan menyerahkan segala urusan hidup kepada Allah, sebab kerja dakwah ialah kerja yang penuh tribulasi.

“Hikmah yang lebih besar ialah apabila Nabi SAW berumur 40 tahun, Baginda bakal menjadi Rasul yang akan membawa satu ajaran berlawanan dengan penduduk Makkah yang menyembah berhala, jadi jawatan Nabi SAW sebagai Rasul terpaksa menanggung risiko, halangan dan tribulasi yang begitu besar.”

Demikian dinyatakan Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Haji Sidek semasa menyampaikan Tazkirah Khas Maulidur Rasul di Surau At-Taqwa, Kampung Mata Kuching, di Kota Melaka malam tadi.

Mengupas sirah Nabawiyyah, beliau menjelaskan kehilangan ayah, ibu, datuk dan bapa saudara yang menjadi tempat pergantungan sejak Baginda SAW masih kecil, menyebabkan Nabi Muhammad SAW belajar erti berdikari seusia awal enam tahun.

Tambah Ustaz Kamarudin lagi, ibunya Siti Aminah wafat ketika Nabi Muhammad SAW berumur enam tahun, setelah itu dijaga oleh datuknya dan diambil alih hak penjagaan oleh bapa saudara Baginda SAW iaitu Abu Talib setelah kewafatan Abdul Mutalib semasa usia Nabi mencecah lapan tahun.

Menurut beliau lagi, dalam Surah Al-Maidah ayat ke-54 ada menjelaskan tentang ciri-ciri pendakwah yang akan membawa agama Allah SWT dan salah satunya ialah tahan cercaan manusia.

“Banyak orang letak jawatan sebab dicerca dimaki, jiwa tidak kental tidak boleh bawa kerja dakwah dan itu sebab dalam Islam hendak bawa kerja dakwah mesti duduk dalam satu kumpulan,” jelas beliau.

Tazkirah Khas Maulidur Rasul bertajuk ‘Rasulullah Penyatu Ummah’ disampaikan oleh Ustaz Kamarudin yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.

Tazkirah ini turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Al-Muraabitun Media milik Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)