Oleh : Abu Harith
KONFLIK menurut Moorhead dan Griffin (2004) sebagai satu keadaan di mana ketidaksetujuan antara pihak-pihak terlibat wujud. Apabila individu, kumpulan-kumpulan atau organisasi-organisasi tidak bersetuju terhadap isu-isu tertentu, maka konflik biasanya berlaku.
Menurut mereka lagi, konflik juga boleh wujud apabila dua atau lebih motif atau matlamat tidak dapat dipuaskan kerana yang satu itu mengganggu yang lain. Sebagai contoh, kita mempunyai sejumlah wang tetapi kita ingin membeli beberapa barangan dan harga setiap barangan tersebut memerlukan kita membelanjakan semua wang tersebut. Apabila kita tidak dapat membuat keputusan untuk membeli yang mana satu, maka konflik boleh berlaku.
Kebiasaannya, konflik boleh dikategorikan dalam dua bentuk, iaitu bentuk nilai ganjaran dan nilai hukuman pada pilihan-pilihan yang sedang dihadapi seseorang. Daripada dua bentuk nilai ganjaran dan hukuman ini, kita boleh klasifikasikan terdapat empat jenis konflik yang boleh berlaku kepada seseorang, iaitu:
1. Konflik mendekat-mendekat
Situasi konflik ini berlaku apabila terdapat dua matlamat yang menarik perhatian seseorang dan dalam masa yang sama kedua-dua matlamat tersebut sangat diingini. Oleh sebab individu tersebut hanya boleh memilih salah satu daripada dua pilihan itu, maka konflik akan berlaku. Contohnya, seorang pelajar menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada dua buah institusi ternama dan kedua-duanya menjadi pilihan baginya.
2. Konflik menghindar-menghindar
Dalam situasi ini, biasanya berlaku disebabkan kita mempunyai dua pilihan dan kedua-duanya tidak kita sukai. Namun, kita terpaksa memilih salah satu daripadanya. Pastinya situasi ini akan menimbulkan konflik. Sebagai contoh, seorang pelajar mendapat tawaran pengajian daripada dua buah institusi yang mana kedua-duanya bukan pilihannya. Namun, disebabkan sudah tiada pilihan lain, pelajar tersebut perlu memilih salah satu bagi meneruskan hasrat untuk menyambung pelajaran.
3. Konflik mendekat-menghindar
Dalam konflik ini, ia satu situasi di mana seseorang itu perlukan apa yang dihajati atau disukai tetapi dalam masa yang sama ia juga suatu perkara yang perlu dijauhi atau dibenci. Contoh kepada situasi ini ialah, apabila seseorang itu mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga, namun dalam masa yang sama dia belum bersedia kerana faktor tertentu seperti kewangan, sukakan kebebasan dan risaukan tentang tanggungjawab.
4. Konflik mendekat-menghindar ganda dua
Situasi ini menjelaskan keadaan di mana seseorang mempunyai dua pilihan yang sangat baik, namun dalam masa yang sama juga kedua-dua pilihannya itu mempunyai keburukan yang dia tidak suka. Keduanya mempunyai risiko baik buruk yang hampir sama untuk dihadapi. Contohnya, seseorang menerima tawaran bekerja dekat dengan kediamannya, tetapi bergaji rendah. Manakala, tawaran lain ialah bekerja jauh dari rumah, tetapi gajinya adalah tinggi. Tentu sukar untuk membuat pilihan apabila sesuatu itu mempunyai baik serta buruk dan kita sangat menginginkannya.
Oleh itu, apabila seseorang itu terperangkap dalam sesuatu keadaan yang berkonflik, langkah yang boleh diambil ialah, cuba mendapatkan maklumat yang cukup untuk membuat keputusan yang terbaik pada masa tersebut. Rujuklah kepada mereka yang arif dan tepat dalam memberikan nasihat serta tunjuk ajar.
Islam mengajar kita untuk berserah segalanya kepada Allah SWT selepas semua usaha terbaik telah kita lakukan. Allah lebih tahu apa yang kita perlu, berbanding apa yang kita mahu.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq – ayat 3
“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar