Home Berita PAS Melaka

Iqtisad Rakyat : Peranan masjid dalam pembangunan ekonomi umat Islam

3168
SHARE

UNTUK siri Iqtisad Rakyat kali ini, penulis ingin mengajak pembaca untuk sama-sama memikir dan meneliti tentang bagaimana institusi masjid di negara kita ini dapat kita garapkan bukan hanya sebagai tempat ibadat yang berbentuk spiritual tapi juga sebagai tempat untuk ‘berteduh” bagi orang-orang susah, tempat untuk menjalin dan memperkuatkan ukhuwah sesama masyarakat dan juga sebagai tempat yang memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi orang-orang Islam.

Bila berbicara tentang perkara ini, elok rasanya kita mengimbau semula tentang sirah Rasulullah SAW terutamanya soal yang berkait dengan penghijrahan baginda ke kota suci Madinah yang menjadi mercu atau permulaan tertubuhnya negara Islam yang pertama di dunia ini.

Dinukilkan dalam kitab sirah Nabi Muhammad SAW, “Al Rahiq Al Maktum”,

Abdullah bin Salam, menceritakan, “Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, orang ramai segera pergi menuju kepada baginda SAW (untuk melihat baginda).

Ada yang mengatakan, ‘Rasulullah telah datang’, lalu saya menuju ke sana di tengah orang ramai itu untuk melihat baginda. Ketika saya melihat wajah Rasulullah SAW saya mengetahui bahawa wajah baginda bukanlah wajah seorang pembohong.

Dan yang pertama kali baginda ucapkan adalah, ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tidur, tentu saudara semua akan masuk syurga dengan selamat.” – Sunan al-Tirmizi

Seruan pertama – sebarkan salam

Seruan sebarkan salam adalah lambang perdamaian dan simbol pautan hati atau ukhuwah sesama masyarakat. Ianya sebagai isyarat penting bahawa dalam kita bermasyarakat, persaudaraan yang mantap akan dapat mencetuskan kejayaan dalam sebarang usaha perniagaan yang ingin kita jalan atau laksanakan sekaligus dapat mengangkat ekonomi umat Islam.

Anas bin Malik menceritakan, “Kemudian baginda memerintahkan untuk membangun masjid. Baginda mengutus utusan kepada pembesar-pembesar Bani Najjar. Utusan itu menyampaikan: “Wahai Bani Najjar, sebutkan berapa harga kebun tuan-tuan ini?”

Mereka menjawab, “Tidak, demi Allah. Kami tidak mahu harganya kecuali dari Allah!”

Anas berkata, “Di dalam kebun-kebun itu terdapat kuburan orang-orang musyrik, juga ada sisa-sisa reruntuhan bangunan dan pohon-pohon kurma. Maka Nabi SAW memerintahkan untuk digemburkan tanah kuburan-kuburan tersebut, runtuhan rumah diratakan dan pohon-pohon kurma ditebang.

Para sahabat meletakkan batang-batang pokok tamar di sebelah kiblat masjid dan menyusun batu sebagai dindingnya. Mereka mengangkut batu-batu besar bersama Nabi sambil baginda bersenandung, “Ya Allah, tidak ada kebaikan sebenarnya kecuali kebaikan akhirat, maka ampunilah kaum Ansar dan Muhajirin.” – Sahih Muslim

Masjid adalah syiar atau lambang perpaduan rakyat atau masyarakat. Tidak ada perbezaan sesama umat Islam walau kita berbeza dari segi pangkat, keturunan mahupun kedudukan. Ia adalah tempat yang boleh menyatukan semua masyarakat Islam.

Seterusnya Nabi SAW mempersaudarakan antara kaum Muhajirin (dari Mekah) dan kaum Ansar (dari Madinah). Kita sedia maklum bahawa kaum Muhajirin adalah terdiri dari mereka yang mempunyai pengalaman dan rangkaian perniagaan yang luas di serata tanah Arab sehingga ke Rom seperti Abdul Rahman bin Auf, Sayyidina Abu Bakar, Saidina Osman dan termasuk baginda Rasalullah SAW sendiri.

Manakala Madinah pula memang terkenal sebagai tempat yang mempunyai tanah pertanian yang subur serta sumber alam yang kaya dan banyak menghasilkan produk-produk pertanian. Ini sudah tentu akan dapat merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi umat Islam.

Seruan kedua – memberi makan.

Seruan memberi makan di sini bolehlah ditakrifkan sebagai menjaga kebajikan orang-orang miskin. Masjid seharusnya menjadi pusat bagi menjaga kebajikan masyarakat setempat. Sudah tentu setiap masjid mempunyai tabung sumbangan dan sebahagian darinya boleh disalurkan untuk tujuan kebajikan. Dengan adanya aktiviti ekonomi di masjid ia sekaligus akan merangsang ekonomi atau tabungan masjid di samping memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti ekonomi di kawasan masjid.

Nabi mendirikan pasar di Masjid Nabawi.

Kita sedia maklum bahawa aktiviti ekonomi di Madinah sebelum kedatangan nabi adalah dikuasai oleh kaum Yahudi khususnya dari golongan Yahudi bani Qainuqa. Mereka amat menindas masyarakat dengan mengenakan sewa yang tinggi di samping mengenakan riba. Hal ini akhirnya sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda mengarahkan supaya didirikan pasar di kawasan masjid.

نِعْمَ سُوقُكُمْ فَلَا يَنْتَقِضُ ، وَلَا يُضْرَبَنَّ عَلَيْهِ خَرَاجٌ ” .
“Inilah sebaik-baik pasar kamu. Ia tidak akan terbubar dan tidak dikenakan ke atasnya sebarang cukai”
Hadis riwayat Ibnu Majah

Strategi yang nabi lakukan adalah dengan menyediakan tapak bagi masyarakat sekitar untuk berniaga dengan tidak dikenakan sebarang sewaan dan tidak dibenarkan mengadakan sebarang binaan tetap. Ini bagi membolehkan sesiapa saja datang untuk berniaga.

Inilah strategi yang nabi lakukan dan boleh menjadi ikutan kita dalam usaha kita untuk merancakkan aktiviti ekonomi di masjid kita. Bila mana perniagaan mereka meningkat maka sudah tentu mereka akan dapat memberikan sumbangan yang lebih kepada masjid dan sumber ini boleh kita gunakan untuk tujuan kebajikan dan juga mengimarahkan masjid.

Seperti yang dinukilkan dalam kitab sirah, Abu Usaid menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW kemudian berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mencari tempat di pasar (untuk berniaga). Mengapa tuan tidak memeriksanya?”

Baginda pun pergi bersamanya ke tempat Pasar Madinah pada hari itu. Abu Usaid melanjutkan cerita, lalu Nabi menghentakkan kaki dan bersabda, “Ini adalah pasar saudara semua, jangan dikurangkan (kawasan tapak) dan jangan dibebankan dengan sewa tapak padanya.” – Musannaf Ibn Abi Syaibah.

Apabila perniagaan mereka berkembang, maka nasihat Nabi Muhammad SAW supaya ‘berikanlah makan’ itu akan mudah dilaksanakan apabila mereka saling bantu membantu antara satu sama lain. Nasihat Nabi jelas pada hadis di atas, pertolongan itu bukan terhad antara sesama Muslim sahaja, bahkan semua lapisan masyarakat. Permulaan hadis Nabi berkata, “Wahai semua manusia…”

Semoga dengan sedikit sebanyak perkongsian ini akan dapat membuka minda kita dan dapat mencetuskan idea untuk kita melihat skop masjid itu kepada skop yang lebih luas dan terbuka. Masjid adalah hak semua masyarakat dan aktiviti masjid bukan hanya terbatas kepada skop yang berkaitan dengan ibadah yang berbentuk spiritual saja seperti solat dan kuliah-kuliah agama.

Masjid adalah tempat untuk pelbagai kegiatan kehidupan masyarakat dan perkara ini perlu ditanam di setiap benak masyarakat umat islam agar fungsi masjid sebagai tempat penyatuan ummah dan tempat orang susah untuk berteduh benar-benar dapat dijelmakan di negara kita ini.

Petikan khutbah Jumaat di seluruh masjid di negeri Melaka baru-baru ini yang bertajuk, “Berusahalah, jangan meminta-minta” amat bertepatan dengan perbincangan yang kita utarakan dalam siri ‘Tinta Ekonomi’ kali ini.

“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. Surah Al-Jumu’ah Ayat 10 10.”

Terjemahan ayat –

Jika kalian sudah menyelesaikan solat Jumaat maka bertebarlah kalian di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dan untuk menuntaskan keperluan-keperluan kalian. Carilah kurnia Allah dengan kerja yang halal dan keuntungan yang halal. Dan ingatlah kepada Allah saat kalian mencari rezeki yang halal itu dengan zikir yang banyak dan jangan sampai mencari rezeki itu menjadikan kalian lupa terhadap zikir kepada Allah, agar kalian mendapatkan kemenangan dengan apa yang kalian inginkan dan selamat dari apa yang kalian hindari.

Nota – penulis ketika menulis artikel ini sedang berada di Pulau Langkawi atas sedikit tugasan Jemaah dan kebetulan menginap di hotel HIG (Haji Ismail Group). Penulis sangat tertarik dengan empayar perniagaan syarikat HIG ini dan akan cuba mengkaji sedikit sebanyak latar belakang tentang tokoh perniagaan Islam yang berjaya ini. Di dalam hotel ini tertera tulisan yang sangat menyentuh hati dan menarik minat penulis, “We are an Islamic Hotel”.

Moga bertemu di siri yang akan datang

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ RAFIE AHMAD
• Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Tangga Batu
• Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka

Rujukan : Al Rahiq Al Makthum
1media.my/ahmadsaifuddin.yusoff