Oleh : IBNU JANIE
ALOR GAJAH : PAS Cawangan Kampung Pengkalan Balak dalam Kawasan Masjid Tanah telah mengedarkan bantuan bekalan makanan mentah kepada golongan yang memerlukan sekitar Kampung Pengkalan Balak pagi tadi.
Sumbangan diedarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dengan dibantu beberapa orang petugas parti. Edaran ini melibatkan lebih 13 buah rumah di kawasan itu.
Ustaz Imran ketika ditemui berkata sumbangan ini adalah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlaku pada masa ini.
“Kita faham ada di antara mereka yang peniaga dan penjaja kecil yang tidak dapat berniaga kerana perintah ini memang terkesan dari sudut kewangan. Walau pun sumbangan ini tidak seberapa namun kita berharap ia dapat meringankan beban mereka” kata beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).
Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah menambah lagi bahawa rakyat juga harus faham bahawa perintah kawalan pergerakan ini adalah untuk kebaikan semua demi untuk mengekang penularan virus covid-19.
Ustaz Imran juga berpesan agar semua rakyat akur dengan perintah ini, duduk di rumah dan hanya keluar apabila ada keperluan mendesak.