1. Baru-baru ini tular satu gambar yang menunjukkan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama beberapa orang pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Lalu bersama-sama dengan gambar itu timbullah fitnah yang meluas kononnya PAS ingin sertai PH.
2. Hari ini Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam kenyataan rasminya menyatakan bahawa selama ini PAS tidak pernah terfikir apatah lagi memohon untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan Umno-BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
3. Tambah Takiyuddin lagi, kenyataan penuh bimbang pimpinan Keadilan dan juga PAN terhadap PAS akhir-akhir ini adalah ibarat ‘anjing takut bayang-bayang’ dan kami menyatakan ‘biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan’.
4. PAS tidak terliur dengan kuasa tanpa prinsip. PAS mengambil keputusan untuk bermuafakat dengan UMNO pun selepas UMNO hilang kuasa walau pun ada usaha untuk merapatkan PAS dan UMNO semasa UMNO masih berkuasa.
5. Di awal kemenangan PH pun mereka ada menggoda PAS untuk bersama mereka untuk mengelakkan muafakat antara UMNO dan PAS, tapi PAS telah menyatakan ‘tidak selera’ dengan PH.
6. Adalah tidak logik untuk PAS menyertai PH di saat PH sedang dilanda perpecahan teruk dan asyik kalah dalam pilihanraya kecil. Tidak mungkin PAS memilih untuk menumpang di kapal yang bakal karam.
7. Ahli-ahli PAS dan UMNO jangan termakan perang psikologi PH yang mahu melihat Muafakat Nasional berbalah sama seperti PH sedang bergolak kerana berbalah merebut jawatan PM.
8. Matlamat kita adalah untuk membentuk kerajaan Muafakat Nasional pada PRU15 akan datang. Sebarang rintangan kita hadapi bersama-sama dalam Muafakat Nasional sehingga terbentuknya kerajaan dominasi Muslim yang kita impikan.
USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya 2
Perhubungan PAS Negeri Melaka
26 Jamadilawal 1441
22 Januari 2020