Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH – PAS Cawangan Sungai Buloh-Padang Kambing telah menganjurkan program Santai Minum Pagi Muafakat Nasional PAS-UMNO cawangan Sungai Buloh yang berlangsung di Kedai Makan Imam Halim di sini pagi tadi.
Semasa ucapan santai di dalam program itu, Ketua Penerangan Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Taboh Naning, Mohd Taro Jaafar mengalu-alukan kesudian pihak UMNO cawangan untuk sama-sama hadir dalam program ini.
Beliau yang juga Ketua Cawangan PAS Sungai Buloh – Padang Kambing menambah, adalah menjadi harapan beliau agar perpaduan yang telah berjaya dipupuk ini akan dapat dikekalkan demi untuk Islam, bangsa dan negara yang dikasihi.
Sementara Ketua UMNO Cawangan Sungai Buloh, Tuan Haji Nordin Zainal dalam ucapannya mengucapkan tahniah atas usaha PAS cawangan di situ atas kejayaan menganjurkan program santai sarapan pagi ini. Menurut Haji Nordin ini adalah satu sejarah kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tambah beliau lagi, kekalahan BN-UMNO pada PRU ke 14 yang lalu telah mengubah lanskap politik tanah air sekarang ini. Mufakat Nasional dan penyatuan UMNO-PAS telah memberi satu nafas baru demi Islam, bangsa dan negara.
Di akhir ucapannya, Haji Nordin mewakili UMNO cawangannya mengucap berbanyak terima kasih kepada pimpinan PAS Sungai Buloh dan AJK PAS Taboh Naning atas penganjuran program ini dan berharap agar program seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang.
Di samping ucapan dan jamuan sarapan pagi, program ini juga diisi dengan slot tazkirah yang disampaikan oleh Setiausaha Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Melaka, Dr Azman Yusof. Selain pimpinan PAS dan UMNO Cawangan Sungai Buloh, program ini turut dihadiri oleh pimpinan PAS MTD Taboh Naning.
Foto-foto program :