Oleh : Ibnu Janie
PAS dan UMNO Padang Sebang telah mengadakan satu program Ziarah Kasih Sayang 2019 berlangsung di Kampung Padang Sebang di dalam DUN Gadek, Alor Gajah semalam.
Menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Gajah, saudara Emransyah Ismail program ziarah ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara PAS-UMNO dan masyarakat.
Beliau yang merupakan mantan calon PAS DUN Gadek pada pilihanraya 2018 berkata bahawa pada masa ini DUN Gadek seperti tidak ada wakil rakyat kerana penyandangnya kini ditahan di bawah SOSMA.
“Adun Gadek sepatutnya meletakkan jawatan. Masyarakat setempat tidak ada tempat bergantung. Kerana itu kita dari PAS dan UMNO mengambil inisiatif ini untuk membantu masyarakat.
“Program ini sebagai bukti bahawa PAS bersikap matang dalam politik dengan tetap istiqamah mengadakan program kebajikan seperti ini samada semasa di dalam Pakatan Rakyat, semasa bersendirian dan juga ketika bersama dengan UMNO pada masa sekarang di dalam Muafakat Nasional.” ujar beliau semasa ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika program itu berlangsung.
Program ziarah yang melibatkan lebih sepuluh buah rumah di Kampung Padang Sebang ini turut disertai oleh Penyelaras UMNO Dun Gadek, Encik Mustafa Muda dan juga pimpinan cawangan dan pemuda dari kedua-dua belah parti PAS dan UMNO.