Home Artikel PAS Sabah

PAS adil untuk semua agama, kaum di Sabah

510
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis

11 November 2019

SANDAKAN : Perjuangan PAS akan menjaga kepentingan semua agama dan kaum di negeri ini yang memiliki pelbagai latar belakang etnik serta fahaman agama.

Walaupun perjuangan PAS berteraskan Islam, ia mendidik ahlinya untuk memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Ia ditegaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika merasmikam Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI Saidina Abu Bakar Dan PASTI Saidina Hamzah semalam di Sabah Hotel dekat sini.

“Islam akan memberikan layanan yang sama rata kepada semua kaum dan agama yang ditadbirnya kerana ia adalah kewajipan kepada pemerintah berkenaan,” tambah Sahar.

Beliau memberi contoh pentadbiran yang dilaksanakan oleh PAS di negeri Kelantan apabila semua kaum di sana termasuk etnik Siam yang bukan Islam mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Pentadbiran berkonsepkan Islam ini bukan sahaja kita laksanakan di Kelantan yang sudah dikuasai PAS lebih 20 tahun malah juga di Terengganu yang baru ditadbir oleh kita (PAS),” ulasnya.

Sahar turut menjelaskan bahawa perjuangan PAS bukan sahaja bermatlamatkan politik malah melaksanakan usaha pendidikan dengan penubuhan pusat pendidikan termasuk TASTI, PASTI, SRITI dan SMITI.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Bin Mustain serta AJK PASTI Sandakan, Hadjabal Abu Saini dan Ust Maslan Mohamad.