Home Khas

Konsep Ketaatan Dalam Jamaah

2809
SHARE

IRSYADUL MURSYID

KONSEP KETAATAN DALAM JAMAAH

Dato’ Tuan Guru Haji Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (as-Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa: 59)

TAAT merupakan salah satu elemen penting di dalam Islam. Asy-Syahid Imam Hassan al-Banna meletakkan taat sebagai salah satu rukun dalam Rukun-rukun Baiah, iaitu rukun yang keenam. Tanpa taat, sebuah bahtera perjuangan tidak akan mampu berlayar dengan baik ibarat sebuah bahtera yang rosak.

Dalam Surah an-Nisa ayat 59, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar taat kepada Allah dan Rasul serta Ulil Amri (pemimpin) daripada kalangan mereka. Kalimah taat yang diulang sebanyak dua kali pada ayat tersebut iaitu sebelum Allah dan Rasul bermaksud ketaatan yang mutlak hanya bagi Allah dan Rasul, adapun terhadap Ulil Amri ketaatannya bersyarat iaitu selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul.

Ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abdullah bin Hudzafah ketika diutuskan oleh Rasulullah SAW bersama satu kumpulan khusus. Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Ali, ia berkata: “Rasulullah mengutus satu pasukan khusus dan mengangkat salah seorang Anshar menjadi komandan mereka. Tatkala mereka telah keluar, maka ia marah kepada mereka dalam suatu masalah, lalu ia berkata: ‘Bukankah Rasulullah memerintahkan kalian untuk mentaatiku?’ Mereka menjawab: `Betul.’ Dia berkata lagi: `Himpunlah untukku kayu bakar oleh kalian.’ Kemudian ia meminta api, lalu ia membakarnya, dan ia berkata: `Aku berkeinginan keras agar kalian masuk ke dalamnya.’ Maka seorang pemuda di antara mereka berkata: `Sebaiknya kalian lari menuju Rasulullah dari api ini. Maka jangan terburu-buru (mengambil keputusan) sampai kalian bertemu dengan Rasulullah perintahkan kalian untuk masuk ke dalamnya, maka masuklah.’ Lalu mereka kembali kepada Rasulullah dan mengabarkan tentang hal itu. Maka Rasulullah pun bersabda kepada mereka: ’Seandainya kalian masuk ke dalam api itu, nescaya kalian tidak akan keluar lagi selama-lamanya. Ketaatan itu hanya pada yang ma’ruf”.

Hal ini selari dengan ucapan Saidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah umat Islam yang pertama, “Sesungguhnya aku telah dilantik sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Maka jika aku berbuat baik maka bantulah aku, namun jika aku berbuat salah maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah amanah sedangkan pendustaan adalah khianat. Golongan yang lemah di sisi kamu adalah kuat di sisiku kerana aku akan memberikan kepada mereka apa yang mereka berhak mendapatkannya dengan izin Allah. Golongan yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisiku kerana aku akan mengambil daripada mereka untuk aku berikan kepada golongan yang berhak mendapatkannya dengan izin Allah. Tidak ada sesuatu puak yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menimpakan kehinaan ke atas mereka. Tidak tersebar kejahatan di kalangan sesuatu puak melainkan Allah akan menimpakan bala ke atas mereka secara menyeluruh. Maka taatilah aku selama mana aku taat kepada Allah dan Rasulnya, dan jika aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka tidak perlu kamu mentaatiku.”

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan syariat Islam, wajib bergerak di atas landasan Islam yang sebenar. Agama merupakan hak Allah, maka wajib bagi kita untuk mentaati segala perintah agama tanpa membantah sedikit pun. Islam wajib diambil secara keseluruhannya, bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagiannya yang lain seperti yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Kewajipan untuk taat kepada perintah agama dan meninggalkan larangannya merupakan kewajipan buat semua, baik ahli mahupun pimpinan. Kesemuanya wajib patuh dan taat tanpa soal.

Namun jika ada perkara yang diperselisihkan di antara ahli dengan pimpinan, maka kedua-duanya mestilah kembali merujuk kepada Allah dan Rasul. Dalam konteks kita pada hari ini, mestilah kembali kepada al-Quran dan as-sunnah. Hal yang demikian merupakan perintah daripada Allah, bahawa segala yang diperselisihkan oleh manusia, baik di atas perkara usul (pokok) mahupun perkara furu’ (cabang) wajib dikembalikan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Maka apa sahaja yang ditetapkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah serta diperakui kebenarannya oleh al-Quran dan as-Sunnah, maka itulah kebenaran yang hakiki, turutilah ia.

Adapun pada perkara yang tidak bercanggah dengan syariat seperti keputusan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat ataupun pendekatan taawun siyasi demi kepentingan Islam dengan mana-mana pihak termasuk Umno, walaupun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, ahli tetap harus taat kepada keputusan jamaah kerana hukum taat kepada Ulil Amri selagi tidak bercanggah dengan syariat adalah wajib.

Seringkali saya sebutkan dalam beberapa siri pertemuan, di dalam Islam terdapat perkara yang thawabit dan di sana terdapat juga perkara mutaghayyirat. Perkara thawabit dapat memelihara usul dalam Islam, menjaga keaslian dakwah dan juga memelihara prinsip, objektif dan kelangsungannya hingga jamaah terpelihara dari kecacatan dan penyelewengan dengan izin Allah SWT. Mutaghayyirat pula berfungsi untuk membantu jamaah beroperasi secara berterusan dan lancar, dapat menyesuaikan diri dengan realiti semasa serta mampu melakukan perubahan berdasarkan situasi tanpa cacat, menyeleweng atau jumud.

Kepemimpinan berhak menentukan siyasah dan pendirian serta strategi jamaah. Mereka juga berhak menentukan kepentingan dan maslahat dakwah sesuai dengan realiti atau andaian yang bakal berlaku, mendahulukan maslahat lebih besar serta mengelak dari kerosakan lebih besar. Selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, selagi itu wajib untuk ditaati.

Daripada Ubadah bin as-Somit, ia berkata: “Kami dibai’ahkan oleh Rasulullah SAW untuk mendengar dan taat dalam keadaan suka dan tidak suka, waktu susah mahupun senang, serta pada keadaan diri sendiri harus diutamakan dan agar kami tidak mencabut kekuasaan daripada penguasa. Kemudian Baginda SAW bersabda : kecuali jika kalian melihat kekafiran yang nyata dan kalian memiliki bukti daripada Allah”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, ketaatan kepada pimpinan merupakan asas penting dalam sesebuah organisasi. Namun, Islam meletakkan had ketaatan hanyalah kepada yang ma’aruf. Jika diperintahkan untuk melakukan maksiat atau perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam, maka kewajipan tersebut telah gugur kerana ketaan kepada Allah dan Rasulullah adalah lebih utama.