Home Khas

Buatlah kerja masing-masing

801
SHARE

Perubahan besar yang berlaku dalam PRU ke 14 mencerminkan hasrat rakyat Malaysia untuk membuang BN yang dilihat sebagai parti yang merosakkan dan memalukan negara kerana tbudaya salahguna kuasa dan rasuahnya.

Rakyat memberikan peluang kepada parti-parti yang mempunyai peluang terbesar untuk menumbangkan BN bergantung pada kawasan. Ia adalah menifestasi kemarahan, kebencian dan amukan yang melihatkan Pakatan Harapan muncul sebagai kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri manakala PAS menguasai Terengganu dan Kelantan.

Kini, rakyat Malaysia mengharapkan kerajaan negeri mahupun persekutuan yang baru dapat berfungsi lebih baik dan berbeza daripada BN.

Kedua, mereka ingin melihat ke arah mana negara nak di bawa.

Semua yakin perubahan akan bergerak ke arah lebih baik, walau lambat atau sedikit. Ia lebih baik dari kekal dalam kerajaan BN yang menyusahkan dan membebankan.

Ia ibarat seorang isteri yang teraniaya kerana mendapat suami jahat, kejam, tidak berhati perut. Habis segala harta isteri diragut, digadai bahkan diperkukuhkan sebagai hamba abdi. Bertahun menuntut fasakh, berpuluh kali naik turun mahkamah… Akhirnya berjaya.

Ke mana akan tinggal, di mana nak cari rezeki dan bagaimana dengan anak-anak akan membesar, itu soal kemudian. Tiada yang akan lebih buruk daripada suami yang jahat itu.

Suami jahat kini menjadi musuh dan perhatian utama. Jika berlaku apa-apa masalah pada kerajaan hari ini, kelakuan suami jahat ini akan dipamerkan untuk mengingatkan bahawa sekarang masih jauh lebih baik berbanding zaman suami jahat.

Kini segalanya tercapai, kehendak sudah tercapai, kekecewaan dah terubat, dendam dah terbalas. Ramai yang terasa puas dan lega. Perasuah’ telah dinyahkan, keegoan telah terhina diubat dan penderitaan jiwa bertamat dengan sinar baru.

Saki-baki yang tersisa diburu sehingga lubang cacing. Yang bersalah dan tamak, kini kepanasan. Pastikan tiada lagi baka perosak itu. musnahkan sehingga ke akar umbinya. biar ia tidak tersisa. keturunan ini tidak patut wujud lagi di atas muka bumi.

Kita isytihar di seantaro dunia bahawa negara baru perlu dibina. Kita isytihar tabung negara perlu digerakkan untuk menyelamatkan negara yang hampir musnah ini. Semua orang diminta membantu. Usah pedulikan dulu keselesaan.

Rakyat diberi harapan ditabur janji. Semua diseru jangan bimbang semua akan dapat. Semua diminta sabar.

Jika ada kebisingan dan ketidakpuasan hati, kelakuan buruk suami yang jahat akan dipaparkan agar semua teringat sekarang adalah lebih baik. Betul, segalanya adalah lebih baik secara perbandingan. Malam nanti pasti ada mimpi manis kita akan dibawa ke alam baru yang lebih gemilang sebagaimana yang kita harapkan. Jika tidak segemilang dan seindah yang dijanji, ungkitlah semula kelakuan suami jahat maka semua akan nampak sempurna.

Kepada yang menang, buatlah kerja masing-masing menunaikan janji pada rakyat supaya rakyat nampak perubahan yang sebenar lalu menyukai kita dan bukannya sekadar terpaksa menerima kita kerana bencikan suami jahat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ahli Parlimen Kubang Kerian
Timbalan Presiden PAS
3 Julai 2018