Home Berita PAS Kelantan

3 produk Kelantan tembusi pasaran China

4106
SHARE

KOTA BHARU: Tiga produk keluaran Kelantan mendapat permintaan tinggi di luar negara terutamanya China.

Durian Musang King dijual dengan harga 1,200 yen sekilogram di China.

Begitu juga sarang burung walit dijual pada harga 40,000 yen sekilogram di negara terbabit. Selain itu serbuk kopi turut mendapat permintaan tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Anuar Tan Abdullah berkata, tiga produk tersebut membolehkan rakyat China mengenali lebih dekat Kelantan.

Katanya, sebelum ini rakyat di negara terbabit hanya mengenali Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Sekarang rakyat China sudah mengenali Gua Musang tempat asal durian Musang King. Bagi pengeluaran sarang burung walit, Kelantan berada di tempat kedua selepas Perak,” katanya menjawab soalan Abdul Rasul Muhamed (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Persidangan Dun Kelantan dijadualkan berlangsung hari ini dan esok. Persidangan tersebut merupakan yang terakhir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Anuar juga berkata, seramai 5,000 pengusaha terbabit dengan industri pengeluaran sarang burung walit di Kelantan.

Menurutnya pengeluaran burung walit di Kelantan dianggarkan sebanyak 4,000 kg sebulan dengan nilaian RM5,000 sekilogram.

“Berdasar maklumat Persatuan Pengusaha Sarang Burung Walit sebanyak RM20 juta diperolehi sebulan daripada hasil burung walit yang belum diproses,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2018