Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Nilai RM,  kenaikan gaji dan inflasi

247
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

SEMASA penulis baru menuntut di Pusat Matrikulasi UUM Sintok sekitar tahun 1994 dahulu penulis agak terkejut kerana air teh-o dijual pada harga 30 sen secawan. Pada masa itu di Melaka secawan teh-o berharga sekitar 60 sen secawan.

Tapi harga 30 sen itu di kafetaria dalam kampus. Di luar kampus di restoren-restoren biasa sekitar Negeri Kedah, harga secawan teh-o pada masa itu sekitar 50 sen secawan. Namun tetap lebih murah daripada Negeri Melaka pada masa itu.

Pada era yang sama juga iaitu sekitar pertengahan tahun 90an, gaji operator pengeluaran kilang pada waktu itu ialah RM300 sebulan.

Malah kita selalu mendengar daripada orang tua-tua yang pernah hidup di era 50an dan 60an, ada antara mereka yang mendapat gaji RM70 atau RM100 sebulan. Lalu kita pun bertanya, cukupkah dengan gaji sebanyak RM70 itu? Mengapa rendah sangat?

Adakah mereka yang menerima gaji sebanyak RM300 sebulan pada tahun 1993 itu sama nilainya RM300 pada tahun 2021? Sudah tentu tidak sama. Mengapa tidak sama? Ia adalah kerana nilai sebenar wang itu telah berubah disebabkan inflasi.

Untuk memudahkan pembaca memahami rencana ini, nilai yang tertera pada wang itu kita panggil sebagai ‘nilai nominal’. Jika wang kertas itu tertulis RM50, maka itulah nilai nominalnya. Sementara apabila kita mengira nilai wang itu berdasarkan kesan inflasi kita panggil sebagai ‘nilai sebenar’ atau boleh dipanggil kuasa beli.

Apa itu inflasi?

Apa itu inflasi? Inflasi adalah kadar purata peratusan kenaikan harga barang-barang dalam satu tempoh tertentu. Contohnya, apabila dikatakan bahawa inflasi meningkat sebanyak lima peratus daripada tahun lepas, ini bermakna daripada tahun lepas hingga tahun ini harga barang-barang secara purata telah naik sebanyak lima peratus.

Bermakna jika pada tahun 2019 sebuah almari dijual pada harga RM100 sebuah maka pada tahun 2020 harga almari itu telah meningkat kepada RM105 sebuah.

Sekarang kita tengok kesan kenaikan harga barang terhadap duit yang kita ada. Katakan pada tahun 2019 kita ada duit sebanyak RM100 (nilai nominal) dan kita menyimpannya di dalam tabung di rumah. Kita menangguhkan pembelian almari itu sehingga sampai tahun 2020.

Maka, pada tahun 2020, jika kita mengambil wang itu dan ingin membeli almari tadi maka pada masa itu duit kita sudah tidak lagi cukup untuk membelinya kerana harga almari itu telah meningkat kepada RM105.

Jadi, dengan nilai nominal RM100 tadi pada tahun 2019 ia mampu digunakan untuk membeli almari tadi. Tapi dengan jumlah yang sama iaitu nilai nominal RM100 tadi ia sudah tidak cukup untuk membeli almari yang sama pada tahun 2020. Jumlah wang (nominal) itu tetap sama namun nilai sebenarnya sudah mengecil disebabkan inflasi. Kuasa beli telah berkurangan.

Sekarang kita andaikan inflasi akan meningkat setiap tahun. Untuk memudahkan pengiraan kita bayangkan harga almari tadi akan meningkat lima peratus setiap tahun. Pada tahun pertama harga almari itu meningkat kepada RM105. Pada tahun kedua ia akan meningkat RM110. Selepas sepuluh tahun iaitu pada tahun 2030 harga almari yang sama akan menjadi RM170.

Apa jadi pada duit kita bila berlaku inflasi?

Jika seseorang itu menyimpan wang sebanyak RM100 di dalam tabung di rumah (bukan di institusi yang memberi pulangan keuntungan), kemudian menggunakan wang yang sama untuk membeli almari yang sama pada tahun 2030 maka dia perlukan RM70 lagi untuk mencukupkannya kerana harganya telah meningkat kepada RM170.

Daripada contoh tadi, duit dengan nilai nominal RM100 itu telah hilang nilai sebenar sebanyak 40 peratus dalam jangkamasa 10 tahun. Jika dilihat daripada penilaian tadi, dengan kadar inflasi konsisten sebanyak lima peratus setahun, nilai RM100 pada tahun 2020 adalah sama dengan nilai sebenarnya RM60 pada tahun 2030.

Jadi, nilai sebenar RM100 pada masa sekarang tidak sama dengan nilai sebenar RM100 pada tahun 2030 walau pun nilai nominalnya tetap sama iaitu RM100.

Lawan kepada inflasi ialah kemelesetan. Kemelesetan ini menyebabkan harga barang semakin turun. Namun hakikat di mana-mana negara pun inflasi akan mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam jangka masa panjang. Jarang ada negara yang harga barang puratanya makin murah dari tahun ke tahun. Kemelesetan biasanya berlaku dalam masa-masa yang singkat dan sementara.

Kesan inflasi pada gaji

Itu jika kita mengkaji nilai sebenar wang dengan melihat kepada kenaikan harga barang atau inflasi. Sekarang kita lihat pula nilai sebenar wang berkaitan dengan perubahan dalam nilai nominal gaji.

Tadi penulis telah mengimbau tentang kisah orang-orang tua pada era 50an dan 60an tentang jawatan kerani dibayar gaji sebanyak RM70 sebulan. Adakah nilai itu terlalu kecil? Adakah nilainya sama dengan nilai nominal RM70 pada hari ini?

Untuk membuat perbandingan ini kita kena meletakkan satu tahun asas untuk menilai kesannya pada satu jangkamasa tertentu.

Katakan kita ambil satu jangkamasa selama 10 tahun. Kita ambil tahun 2010 sebagai tahun asas dan tahun 2020 sebagai jangkamasa yang ingin dikira.

Jika kita buat perbandingan selama 10 tahun dengan kadar inflasi yang konsisten sebanyak lima peratus setiap tahun, maka seseorang yang bergaji RM2000 pada tahun 2020 adalah sama dari segi nilai sebenar dengan seseorang yang bergaji sebanyak RM1550 pada tahun 2010.

Ini bermakna dengan mengambilkira nilai sebenar yang boleh dibeli dengan nilai nominal gaji dibandingkan dengan harga barang pada waktu yang sama, pengiraan ini menunjukkan gambaran persamaan sebagai perbandingan.

Maknanya, jika anda mendapat gaji sebanyak RM2000 pada tahun 2020, anda mampu berbelanja pada tahun 2020 sama seperti orang yang mendapat gaji sebanyak RM1550 pada tahun 2010 berbelanja pada tahun 2010.

Dengan menggunakan pengiraan yang sama, seseorang yang mendapat gaji sebanyak RM2000 pada tahun 2010 pula adalah sama dengan mereka mendapat gaji sebanyak RM3400 pada tahun 2020.

Inflasi dan kenaikan gaji kejar mengejar antara satu sama lain

Sebenarnya gaji dan inflasi adalah dua perkara yang saling kejar mengejar antara satu sama lain seiring perkembangan masa.

Suatu masa apabila apabila para pekerja berasa bahawa harga barang semakin naik maka kesatuan sekerja akan meminta kenaikan gaji. Kemudian syarikat yang merupakan majikan pun menaikkan gaji pekerja.

Oleh kerana kenaikan gaji itu telah meningkatkan kos pengeluaran maka kebanyakan syarikat pun terpaksa menaikkan harga barang yang mereka keluarkan.

Apabila majoriti harga barang naik lagi maka kesatuan sekerja akan menuntut lagi kenaikan gaji. Kemudian syarikat pun bersetuju. Oleh kerana kenaikan gaji ini meningkatkan kos pengeluaran maka syarikat pun menaikkan lagi harga barang.

Inilah yang berlaku hingga hari kiamat. Kerana itu kita lihat pada tahun 1960an gaji seorang kerani ialah sebanyak RM70 dan harga secawan teh-o mungkin lima sen secawan. Pada tahun 2020 gaji seorang kerani RM1200 sebulan sementara harga secawan teh-o pula RM1.50 secawan.

Cuma yang sukar dipastikan yang akan mana meningkat dengan kadar lebih tinggi. Jika kadar kenaikan gaji lebih tinggi daripada inflasi, maka rakyat akan untung. Jika kenaikan inflasi lebih tinggi daripada kenaikan gaji, maka rakyat akan rugi kerana kuasa beli rakyat sebenarnya menyusut walau pun nilai nominal gaji naik.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini pernah disiarkan di Harakah cetak pada 11 Januari 2021