Home Kenyataan Media PAS Melaka

Darurat bakal perkukuh imej kerajaan PN – PAS Kota Melaka

449
SHARE

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Kawasan Kota Melaka


Darurat bakal perkukuh imej kerajaan Perikatan Nasional

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) mungkin memperoleh sokongan tambahan dan memperkukuh imej positif kerajaan berikutan pengisytiharan darurat, PKP serta PKPB yang akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Terutama dalam memastikan kesihatan awam berada pada tahap stabil berikutan cabaran Covid-19 kian serius selain bencana banjir yang melanda.

Rakyat tidak perlu bimbang dengan pengisytiharan darurat ini kerana segala aktiviti terutamanya ekonomi boleh dijalankan seperti biasa.

Rakyat juga tidak perlu bimbang dengan darurat kerana negara sudah melalui tiga kali pengalaman itu.

Pertama ialah pada tahun 1969 (isu perkauman) kedua pada tahun 1992 (masalah ekonomi dunia) dan ketiga ialah 1997-1998 (krisis ekonomi Asia).

Pimpinan PAS Kawasan Kota Melaka juga menyambut baik pengisytiharan darurat sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19 yang menunjukkan angka membimbangkan.

Tidak timbul lagi soal Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak cukup majoriti untuk memerintah kerana proklamasi darurat sudah dilaksanakan sehingga Ogos.

Keadaan ini membolehkan kerajaan menumpukan usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19 tanpa gangguan politik dan sebagainya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Titah yang bijaksana Yang Di-Pertuan Agong adalah amat wajar dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara yang memberi kelegaan kepada rakyat.

Meredakan keresahan petugas barisan hadapan yang sedang bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 yang semakin hari menunjukkan peningkatan angka positif.

Keutamaan negara dan rakyat pada masa kini ialah memerlukan tempoh yang tidak terganggu dengan agenda selain daripada menangani wabak pandemik ini serta kebajikan rakyat yang terjejas ekoran pandemik dan juga bebanan banjir baru-baru ini di lima buah negeri iaitu Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Dengan penguatkuasaan darurat ini dapat memberikan masa rehat seketika dalam suasana politik negara pada hari ini daripada kesibukan berpolitik dan tuntutan ke arah PRU-15 disegerakan.

Belajar daripada pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini, bagaimana ia menjadi titik permulaan peningkatan angka positif Covid-19 dan pengisytiharan darurat boleh dilihat sebagai keprihatinan kerajaan PN.

Oleh kerana itu, PAS bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional di samping mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional.

Maka PAS menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak Kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar dari peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.

Harapan juga agar vaksin yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

PAS Kawasan Kota Melaka juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang menyabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Kami turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat terutama Rakyat Negeri Melaka untuk bersama mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman, bencana banjir dan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Islam Memperkukuh Perpaduan

PAS Kekal Perkukuh PN, Perkasa MN

ZAHIDI BIN YUSOF
Timbalan Yang Di-Pertua
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Kawasan Kota Melaka

13 Januari 2021 bersamaan 29 Jamadilawal, 1442H