Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Darurat: DMPM Menjunjung Perkenan YDP Agong

742
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini menjunjung perkenan Yang Dipertuan Agong berkenaan proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyidin Yassin. Dewan Muslimat bersetuju sesungguhnya ia suatu keperluan buat masa ini memandangkan negara berdepan dengan krisis pandemik dan pada masa yang sama, berhadapan bencana banjir yang belum surut sepenuhnya.

2. Buat masa ini ia adalah keputusan yang terbaik kerana pilihanraya merupakan suatu perkara yang memerlukan komitmen Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk memikirkan kesinambungan survival politik masing-masing. Dengan proklamasi darurat ini, semua ahli politik tidak perlu memikirkan tentang keperluan berkempen dan sebagainya sebaliknya terus berusaha memikirkan jalan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing dan seluruh negara. Tunjukkanlah keprihatinan dan kesungguhan dalam membantu rakyat yang memerlukan segala khidmat bantuan.

3. Secara dasarnya, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa mutlak kerana kesemua Menteri masih memegang portfolio masing-masing serta penubuhan Jawatankuasa Bebas yang disertai juga oleh ahli politik pembangkang yang mana akan memastikan proklamasi darurat ini hanya digunakan sehingga masalah yang melanda negara iaitu penyakit pandemik Covid-19 ini berakhir. Rakyat masih boleh meneruskan hidup seperti biasa tanpa sekatan yang tidak wajar. Apa yang perlu difahami ia bukanlah seperti darurat pada tahun 1969 namun ia hanya bersifat sekatan gangguan politik. Rakyat yang cintakan kedamaian dan ketenangan sudah tentu amat berharap sebuah kerajaan yang stabil tanpa desakan politik yang tidak perlu sehingga mengganggu proses pentadbiran negara.

4. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat berharap semua pihak berusaha mematuhi darurat ini sehingga ianya berakhir. Berhentilah memprovokasi rakyat dengan perkara yang tidak perlu dan bersifat persepsi semata-mata. Marilah kita sama-sama bersatu membangunkan kembali Malaysia yang tercinta.

#IslamMemimpin
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#IslamMemimpinWanitaSejahtera

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
13 Januari 2021 | 29 Jamadilawal 1442H