Home Berita PAS Melaka

Jangan beri ruang pemecah belah umat – Ustaz Kamarudin

484
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 1 JAN: Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Haji Sidek menasihatkan agar umat Islam jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada pemecah belah umat yang berhasad dengki terhadap perpaduan yang telah terjalin.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan tazkirah di Masjid Asy Syuja’ah, Merlimau, Jasin, malam kelmarin.

Kata beliau, pada zaman Rasulullah SAW telah wujud golongan yang suka berhasad dengki iaitu orang munafik yang dengki akan nikmat perpaduan sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Setiap nikmat yang kita dapat, ada orang yang berhasad’.

“Orang munafik zaman Rasulullah di Madinah mereka berpura-pura. Mereka memperhatikan kekuatan umat Islam yang patuh dan taat, jadi mereka mencari jalan untuk pecahkan kesatuan umat Islam.

“Akhirnya mereka merancang membuat masjid tidak jauh dengan masjid Quba supaya umat Islam di sekitar Quba tidak berlonggok di masjid Quba dan sebahagian yang lain pergi ke masjid yang baru dibuat oleh orang munafik, apabila dah ada dua kumpulan mereka akan saling berlawan,” jelas beliau kepada hadirin.

Mengulas lanjut, formula ‘divide and rule’ golongan munafik itu juga diguna pakai semasa zaman kolonial British untuk mengurangkan kuasa majoriti bangsa Melayu yang kemudiannya memberi peluang kepada bangsa minoriti mengukuhkan kedudukan mereka.

Ustaz Kamarudin yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka itu mengingatkan semua jawatankuasa masjid harus memantau keadaan dan orang yang terlibat di masjid kerana terdapat kes agamawan yang mengajar di masjid menjadi punca perbalahan.

“Kalau sekadar nak sembahyang, di rumah pun boleh sembahyang. Akan tetapi masjid ini selain beribadah tujuannya kita nak membentuk ukhuwah Islamiah dalam kalangan umat Islam.” jelas beliau.

Ceramah khas yang turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Al-Muraabitun Media malam kelmarin ini adalah bersempena program jelajah masjid di seluruh negeri Melaka atas kapasiti beliau sebagai Penasihat Agama YAB Menteri Melaka dan Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Melaka.