Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Pelancaran perkhidmatan TV Malaysia

466
SHARE

28 DISEMBER 1963 (SABTU)

PADA hari ini dalam tahun 1963, Perkhidmatan Televisyen Malaysia (TV Malaysia), dilancarkan.

Upacara pelancaran dilakukan oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ibni Almarhun Sultan Abdul Hamid Halim Shah dari studio sementara TV Malaysia di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Di awal pelancarannya, TV Malaysia akan bersiaran lima setengah jam sehari atau 44 jam seminggu dengan tambahan masa siaran pada hujung minggu.

50 peratus daripada rancangan yang disiarkan, dibuat secara langsung dari studio sementara. Sebahagian lagi adalah tayangan filem-filem sumbangan Filem Negara dan lain-lain sumber luar.

Sebagai permulaan, penerimaan siaran terhad di ibu negara dan kawasan-kawasan berhampiran. Penerimaan siaran ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa.

TV Malaysia mencatat kemajuan yang pesat dengan pembinaan stesen-stesen pemancar antaranya di Gunung Kledang Perak, Gunung Tampin Negeri Sembilan dan Gunung Jerai di Kedah.

Perubahan dari TV hitam putih kepada TV warna dalam tahun 1978, merupakan satu kejayaan besar buat media elektronik ini.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia