Home Berita PAS Melaka

Ziarah Assabiqun PAS Telok Mas hargai veteran PAS – Ustaz Kamarudin

495
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 27 Dis : Yang lama perlu dihargai kerana sesungguhnya tidak akan ada yang baharu jika tiada yang lama, kata Pesuruhjaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Haji Sidek.

Beliau berkata demikian dalam satu ziarah anjuran Jabatan Pilihan Raya Dun (JPrD) Telok Mas bagi menziarahi Assabiqun PAS sekitar Dun ini, di sini, hari ini.

Golongan Assabiqun ini adalah mereka yang pernah bersusah payah untuk mendokong perjuangan PAS semenjak PAS bertapak di bumi Telok Mas ini yang kebanyakkan daripada mereka pada masa ini agak uzur dek kerana faktor usia dan menghidap pelbagai penyakit.

“Semoga ada sinar untuk mereka dan segala penat lelah yang mereka korbankan untuk Islam, akan dinilai sebagai kebajikan di sisiNya,” ujar Ustaz Kamarudin lagi.

Antara yang sempat diziarahi pada hari ini ialah seramai lima orang Assabiqun PAS termasuk beberapa orang asnaf di sekitar Telok Mas.

Kebanyakan veteran yang dikunjungi merupakan bekas pimpinan kawasan dan cawangan dan telah berbesar hati menyambut rombongan ziarah ini di mana perbincangan lebih kepada pengkisahan pengalaman, hal-hal semasa parti dan sebagainya.

Selain berkunjung, rombongan ini turut memberikan mereka sedikit sumbangan penghargaan sebagai menghargai jasa-jasa mereka kepada parti dan penghargaan parti terhadap sikap istiqamah mereka dengan PAS.

“Semoga ziarah ini mendapat keberkatan dan mereka yang uzur ini diberi kesembuhan daripada Allah swt,” tambah Ustaz Kamarudin lagi.

Turut serta dalam rombongan itu adalah Timbalan Yang Di-pertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof, bersama-sama dengan AJK Kawasan yang lain, antaranya Ketua Penerangan, Azmi Aziz, Ketua Dewan Pemuda, Zulhilmi Suboh, Setiausaha Kawasan, Abdul Samad Mohd Dahan, Pengarah JPrK, Ahmad Saidin, Pengarah JPrD, Khairulanuar Abdul Gani dan Ahli Jawatankuasa JPrD yang lain.