Home Berita PAS Melaka

Majlis Konvokesyen PASTI As-Syafie kali ke-4 meriah

535
SHARE

Oleh : Abu Harith

KOTA MELAKA, 21 Dis : Walaupun masih dalam suasana pandemik, tidak menjadi penghalang kepada pihak pengurusan PASTI As-Syafie Taman Seri Telok Mas untuk meraikan 40 orang pelajar mereka di Majlis Konvokesyennya kali yang ke-4 yang berjaya dilaksanakan dalam suasana yang cukup meriah serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Majlis yang telah berlangsung di Dewan Auditorium MITC, di sini, semalam itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Abu Naufal Shamsuddin.

Dalam ucapan perasmiannya itu, Ustaz Abu Naufal berkata, PASTI merupakan satu pilihan yang baik bagi ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan secara holistik iaitu meliputi aspek duniawi dan ukhrawi.

“Silibus pendidikan yang disediakan khas oleh pihak Jabatan PASTI Malaysia dalam menjamin kualiti pendidikan yang terbaik kepada anak-anak seawal usia empat tahun,” ujar Ustaz Abu Naufal dalam ucapan perasmiannya.

Menurut beliau lagi, ibubapa perlu terus istiqomah menghantar anak-anak mereka ke PASTI dan perlu yakin bahawa PASTI merupakan satu institusi pendidikan yang berkualiti dan setaraf dengan pendidikan swasta mahupun awam di luar sana memandangkan guru-guru yang mengajar juga adalah terlatih serta diberikan latihan yang berterusan.

Terdahulu, dalam majlis yang sama, Pengurus PASTI As-Syafie, Mohd Farid Eshak dalam ucapan aluannya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibubapa kerana terus memberi keyakinan kepada PASTI As-Syafie bagi mendidik anak-anak mereka.

“Saya berharap agar ibu ayah semua terus kekal menghantar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan ke sini pada tahun-tahun akan datang. Dan sesungguhnya pihak PASTI As-Syafie sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua,” ujar beliau.

Dalam majlis ini, Anugerah Keseluruhan Terbaik 6 tahun pada Majlis Konvokesyen PASTI As-Syafie Kali Ke-4 ini telah dianugerahkan kepada adik Muhammad Adib Mohd Nor Amri yang membawa pulang piala serta hadiah iringan di samping sesi penyampaian anugerah-anugerah lain bagi setiap tahun turut berlangsung.

Majlis yang berakhir sekitar jam 12.30 tengahari itu turut diserikan dengan beberapa persembahan pelajar dan bacaan Al-Quran surah Al-Mulk oleh adik Muhammad Zharif Syahmi Norhishammudin, pelajar kelas 6 tahun PASTI As-Syafie.

Program turut disertai oleh Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Rohani Hasan.