Home Berita PAS Melaka

Pengarah JPrN PAS Melaka turun padang daftar pengundi baharu

575
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 16 Dis : Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPrN) PAS Melaka, Bahiki Ismail hari ini turun padang membuka booth pendaftaran pemilih bagi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Program booth pendaftaran pemilih SPR ini mensasarkan orang ramai yang mengunjungi Perhentian Rehat Dan Rawat Kompleks Terminal Kenderaan Berat Negeri Melaka Ayer Keroh, yang kebanyakannya daripada golongan pekerja industri.

“Alhamdulillah, PAS Melaka ada 12 Penolong Pendaftar Pemilih yang telah dilantik oleh SPR daripada kalangan ahli PAS.

“Untuk suku yang keempat ini akan berakhir pada 25 Disember. Kita dapati ramai dalam kalangan pengundi-pengundi yang telah berumur 21 tahun masih lagi belum mendaftar.

“Oleh itu saya mengharapkan sesiapa pun dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar mengundi yang telah berumur 21 tahun, daftarlah segera dengan Penolong Pendaftar Pemilih yang telah dilantik oleh SPR samada dari kalangan parti politik atau NGO yang telah dilantik SPR.

“Boleh hubungi nombor-nombor kami nyatakan di bawah ni, dengan menghantar imej IC untuk memudahkan kita mengisi borang mereka,” ujar Bahiki ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Ketika ditanya tentang situasi semasa pendaftaran pemilih baharu, Bahiki berkata, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang telah berumur 21 tahun ini dilihat kurang peka dengan pendaftaran pemilih ini.

“Jadi kita terpaksa membuka booth-booth di tempat yang dikunjungi ramai, seperti di tempat ini. Di pasar malam atau di pasaraya-pasaraya untuk memudahkan mereka mendaftar sebagai pengundi.

“Kita mengharaplah supaya rakyat Malaysia jangan lepaskan peluang, sebab PRU yang akan datang mungkin berlaku dalam masa terdekat ini.

“Kita daripada PAS mengharapkan rakyat Malaysia segera mendaftar sebagai pemilih untuk PRU15,” ujar beliau lagi.

Menurut Bahiki di Melaka sahaja dianggarkan sekitar 90 ribu orang yang telah berumur 21 tahun belum mendaftar sebagai pengundi, sementara bagi seluruh Malaysia pula, mengikut maklumat daripada SPR, lebih empat juta orang yang layak menjadi pemilih masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Mereka yang ingin mendaftar boleh menghubungi nombor-nombor ini menggunakan aplikasi Whatsapps untuk mendaftar : Bahiki Ismail – 013 6191148, Zukri – 011 10562850, Safarwan 011 58828171, Sidik Rohizan 016 3460728 dan Zahid Syahmi 014 5228155.