Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Belanjawan Malaysia yang pertama dibentangkan

434
SHARE

16 DISEMBER 1963

PADA hari ini dalam tahun 1963, Belanjawan Malaysia yang pertama telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh YB Encik Tan Siew Sin, Menteri Kewangan.

Peruntukan bagi Persekutuan Tanah Melayu sahaja adalah sebanyak $1,254 juta dan sebanyak $71 juta daripada jumlah ini adalah untuk perbelanjaan kerajaan pusat. Hasil yang akan diperolehi oleh Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1964 adalah dianggarkan sebanyak $1,118 juta.

Peruntukan bagi negeri Sarawak sebanyak $53 juta, negeri Sabah $42 juta dan anggaran belanjawan perkhidmatan bekalan bagi negeri Singapura adalah sebanyak $78 juta.

Sebanyak $256.5 juta telah diperuntukan bagi Kementerian Pertahanan. Pertambahan adalah sebanyak $26.5 juta atau 69 peratus lebih daripada jumlah peruntukan bagi tahun 1963. Encik Tan Siew Sin menerangkan penambahan ini perlu bagi persediaan mempertahankan negara dari ancaman luar.

Sebanyak $28,959,209 telah diperuntukan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dengan peruntukan ini penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemajuan dalam rancangan pembangunan negara yang sedang pesat dilancarkan.

Dalam anggaran belanjawan ini juga kerajaan telah meluluskan pinjaman wang sebanyak $30 juta kepada Pesuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur untuk pembinaan rumah-rumah bagi kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur serta rumah-rumah pangsa dan rumah-rumah murah untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Anggaran belanjawan Malaysia yang pertama yang dibentangkan pada hari ini dalam tahun 1963 merupakan satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan kemajuan ekonomi di samping mewujudkan sebuah negara yang kukuh.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia