Home Berita PAS Melaka

Muslimat PAS Alor Gajah bantu pesakit lumpuh

450
SHARE

Oleh : Najua Roslan

ALOR GAJAH, 14 Dis : Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah telah mengadakan satu program ziarah kasih bagi menyampaikan bantuan buat seorang pesakit lumpuh di rumahnya dalam Dun Rembia, di sini petang kelmarin.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah, Rosela Alwi yang mengetuai rombongan itu telah menziarahi Adam Md Sohor yang diuji dengan ujian lumpuh seumur hidup akibat kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun 2006.

Adam mempunyai enam orang anak dan salah seorang anak beliau berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Beliau yang selama ini dibantu oleh isterinya yang bekerja di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia demi mencari rezeki buat keluarga tercinta.

Adam turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan berbentuk barangan dapur dan wang tunai daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah itu.

Menurut beliau, sumbangan ini sedikit sebanyak telah meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh beliau dan keluarga.

Turut bersama dalam rombongan ini ialah pimpinan Muslimat PAS JPrD Rembia, Noor Aziemah Zulkafli dan guru PASTI Al Insyirah, Ruziah Noh.