Home Berita PAS Melaka

Kesukaran hidup pesakit buah pinggang dapat perhatian Muslimat PAS Alor Gajah

332
SHARE

Oleh : Najua Roslan

ALOR GAJAH, 14 DIS : Kesukaran hidup seorang surirumah, Fazlysyamira Abu Bakar, 36, yang menghidap penyakit buah pinggang mendapat perhatian Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah, Rosela Alwi, bersama dengan beberapa orang lagi pimpinan Muslimat PAS tempatan telah menziarahi beliau di rumah beliau di Taman Baiduri, Kuala Ina, di sini, kelmarin.

Fazlysyamira kini sedang diuji dengan masalah penyakit kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis selain menghidap penyakit tulang rapuh.

Menurut Fazlysyamira, selama ini beliau ada menerima bantuan berkala sebanyak RM200 dari pihak kebajikan dan ihsan adik beradik yang menghulurkan bantuan sedikit sebanyak bagi menampung perbelanjaan isi rumah.

Tambahnya lagi, beliau sangat memerlukan bantuan daripada orang ramai dari segi kewangan kerana kos dialisis yang ditanggungnya amat tinggi.

Suami beliau pula tidak mempunyai pekerjaan tetap memandangkan suaminya itu terpaksa menguruskan beliau dan anak-anak.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah, Rosela Alwi dalam ziarah itu telah menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung Fazlysyamira sekeluarga.

Menurut Rosela, Dewan Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah akan meneruskan aktiviti mengesan dan menyantuni kelompok asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Program ini adalah program berterusan kita untuk membantu rakyat. Program ni dah berjalan sekian lama. Dan kita akan teruskan.

“Saya doakan semoga Puan Fazlysyamira dan suami tabah mengharungi ujian ini,” ujar Rosela ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM).