Home Berita PAS Melaka

‘Home2Live’ beri nafas lega untuk golongan mustadhafin

445
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 7 Dis : Program Home2Live yang dianjurkan oleh NGO Muslim Care Malaysia dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, memberi kelegaan besar kepada beberapa golongan fakir miskin sekitar Melaka yang kekurangan kelengkapan asas dan tidak mampu menanggung biaya pembinaan rumah sendiri.

Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Anida Haron berkata, sejumlah dua buah keluarga yang menetap di Alor Gajah dan Tangga Batu telah memperoleh bantuan itu semalam menerusi program Home2Live yang dianjurkan oleh Muslim Care Malaysia.

“Rumah pertama yang menerima bantuan ialah Hussin Abd Hamed, 21, merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang sudahpun menerima sumbangan berupa alat kelengkapan tempat tinggal iaitu peti sejuk, katil, tilam dan tikar getah di kediamannya di Kampung Pulau, Durian Tunggal.

“Encik Hussin tinggal berdua bersama kakaknya Latipah Abd Hamed, 34, yang juga berstatus OKU dan sebelum sumbangan disampaikan kami bergotong-royong terlebih dahulu,” ujar beliau.

Selain itu, bantuan juga diberikan kepada keluarga Shahrul Arof, 44, bagi menampung baki kos pembinaan kediaman mereka setelah mendapat sedikit peruntukan untuk membina tapak asas daripada pihak Adun Pantai Kundur, YB Nor Azman Hassan, yang hadir bersama dalam kunjungan semalam.

Menurut wakil Muslim Care Malaysia, Zuriati Yaakob, pihaknya bersedia menanggung baki kos keseluruhan pembinaan rumah itu yang terletak di KM 15, Tanjung Kling, Tangga Batu yang tertangguh akibat kekurangan dana setelah menerima maklumat oleh LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

“Keadaan ekonomi keluarga Encik Shahrul dan isteri terjejas teruk berpunca daripada sakit jantung dan gout yang mereka alami serta disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac yang lalu.”, jelas beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Di samping itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr. Uyun Malek, turut sama turun menghulurkan bantuan dan menyantuni penerima bantuan di Melaka.

Untuk rekod, program Home2Live merupakan inisiatif Muslim Care Malaysia untuk membantu fakir miskin terutama mereka yang kurang upaya dari segi kewangan bagi memiliki rumah yang asas.

Justeru, sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Program Home2Live melalui laman sesawang Muslim Care Malaysia Society dengan sekecil-kecil sumbangan bernilai RM10.

https://toyyibpay.com/TABUNG-DANA-HOME2LIVE