Home Berita PAS Melaka

Ziarah Kasih : Amilin PAS antara asnaf yang mendapat perhatian

440
SHARE

Oleh : Siti Hajar

KOTA MELAKA, 7 Dis : Seorang amilin PAS antara asnaf yang diziarahi dalam program Ziarah Kasih anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (LKK DMPNM) bersama NGO Muslim Care Malaysia (MCM) petang semalam.

Menurut Pengerusi LKK DMPNM, Anida Haron, penerima bantuan iaitu Siti Fatimah, 56, merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan mengalami masalah kesihatan saraf manakala suaminya Yahya Alias, 55, hanya bekerja sebagai tukang kebun namun tidak dapat melakukan kerja berat atas faktor kondisi sebagai penghidap sakit jantung.

“Anak-anaknya pula, bagi yang sudah bekerja, mereka sendiri mengalami masalah kesihatan dan kewangan malah masih terdapat anak yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM).

“Rumah mereka seringkali dimasuki air ketika hujan lebat dan hanya mempunyai dua bilik sedangkan penghuni rumah agak ramai termasuklah cucunya yang tinggal sekali”, jelas beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Pada kesempatan itu, LKK DMPNM terus menyuarakan hasrat meminta tajaan sebuah bilik tambahan kepada wakil Muslim Care Malaysia yang bersama mengikuti aktiviti Ziarah Kasih setelah selesai program Home2Live.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr. Uyun Malek, wakil Muslim Care Malaysia, Zuriati Yaakob dan tiga orang wakil Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Kota Melaka.