Home Berita PAS Melaka

Semoga semua penyumbang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab – Syaharudin

667
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

JASIN, 3 Dis: Penerima sumbangan rumah bagi program Home2Live sumbangan NGO Muslim Care Malaysia, Syaharudin Mashor, memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar semua yang menyumbang untuk pembinaan rumah baharunya itu agar dimasukkan Allah SWT ke dalam syurga tanpa hisab.

“Saya mendoakan semua selamat dunia akhirat, dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab dan Allah SWT sahaja yang membalas jasa mereka,” kata Syaharudin ketika ditemubual Wartawan Rakyat Malaysia (WARM) dalam majlis penyerahan rumah tersebut di Kampung Serkam Pantai, di sini semalam.

Syaharudin yang bekerja sendiri dengan melakukan berbagai-bagai usaha untuk menyara keluarga antaranya menjadi tukang urut, pemotong rumput di samping berniaga secara kecil-kecilan ini berkata beliau akan menginap di rumah yang baru diterimanya ini bersama isteri dan empat orang anaknya.

“Syukur kerana Allah SWT telah menggerakkan hamba-hamba-Nya membantu. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mana yang telah membantu.

“Tak lupa kepada Muslim Care yang bertungkus lumus dan sesiapa sahaja yang saya tidak tahu (yang telah menyumbang). Semoga Allah SWT yang akan membalasnya,” ujar Syaharudin.

Kunci rumah itu diserahkan sendiri oleh Timbalan Presiden NGO Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Surau Umri Serkam.

Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Hj Sidek dan Adun Serkam, YB Datuk Zaidi Attan turut memberi ucapan penghargaan atas kejayaan program ini dalam majlis tersebut.

Turut hadir Presiden Muslim Care Southern Region, Dr Kamarudin Abu Hassan, Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Melaka, Anida Haron, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin, Hajah Kintan Man dan timbalan beliau Hajah Shopiah Ahmad.

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)