Home Berita PAS Melaka

Idea bina rumah baharu asnaf bermula daripada Ziarah Kasih Muslimat – Anida Haron

513
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

JASIN, 3 Dis : Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Melaka, Anida Haron berkata, idea projek sumbangan rumah baharu untuk seorang asnaf, Syaharudin Mashor, tercetus daripada siri program Ziarah Kasih yang dijalankan oleh LKK Dewan Muslimat PAS Melaka sebelum ini.

Rumah tersebut yang disumbangkan oleh NGO Muslim Care Malaysia hasil sumbangan orang ramai melalui program ‘Home2Live’ itu dibina di atas satu tapak tanah milik keluarga Syaharudin di Kampung Serkam Pantai.

“Kami telah pun memilih rumah Encik Syaharudin untuk kita bina semula daripada rumah yang lama, terus dapat satu rumah baharu yang selesa yang beliau layak duduk.

“Alhamdulillah program ini, banyak lagi tempat lain yang kita sedang buat. Tapi ini yang permulaan bagi Negeri Melaka, rumah Encik Syaharudin ni yang pertama,” ujar Anida.

Tambah Anida lagi selain projek ini, ada beberapa lagi projek bantuan seperti ini yang sedang dalam proses pembinaan di Parlimen Tangga Batu dan Parlimen Kota Melaka di bawah Muslim Care Malaysia dan LKK Dewan Muslimat PAS Melaka.

Anida berkata demikian ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semasa program penyerahan rumah tersebut di Kampung Serkam Pantai di sini semalam.

Kunci rumah itu diserahkan sendiri oleh Timbalan Presiden NGO Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Surau Umri Serkam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Hj Sidek, Adun Serkam, YB Datuk Zaidi Attan, Presiden Muslim Care Southern Region, Dr Kamarudin Abu Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin, Hajah Kintan Man dan timbalan beliau Hajah Shopiah Ahmad.

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)