Home Artikel PAS Melaka

Pena editor Melaka : Mengajar YB Rara makna istilah proaktif

352
SHARE

SAYA tertarik apabila membaca satu hantaran Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai YB Rara, berkaitan dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 20 November lepas yang meluluskan usul mewujudkan jawatan ADUN lantikan bagi negeri Pahang.

Seperti biasa sebagai wakil rakyat DAP, YB Rara mestilah membantah usul itu. Tujuh ADUN DAP dan seorang ADUN PKR katanya keluar dewan sebagai membantah keputusan itu.

Antara yang disebut YB Rara di dalam hantarannya itu ialah tidak ada keperluan untuk Pahang mewujudkan ADUN lantikan seperti Sabah kerana Pahang tidak menghadapi masalah kerajaan dengan majoriti tipis seperti Sabah. Ini antara frasa tulisan Rara yang membuat saya ketawa besar!

Yang pertama tidak ada siapa boleh menjamin sesebuah kerajaan yang biasa mendapat majoriti besar akan kekal mendapat majoriti besar selama-lamanya. Bukan sahaja tidak ada jaminan, malah kerajaan yang mendapatkan majoriti besar dalam satu-satu Pilihan Raya Umum (PRU) pun boleh tumbang dalam PRU seterusnya.

Yang kedua, jika kerajaan itu hanya mahu mewujudkan jawatan ini ketika kerajaan itu sedang menghadapi majoriti tipis sudah tentulah ia sukar dilakukan. Ini adalah kerana untuk mewujudkan jawatan ini Perlembagaan atau pun Undang-undang Tubuh Negeri perlu dipinda. Untuk meminda Undang-undang Tubuh pula perlu kepada majoriti dua pertiga.

Jadi pada masa sesuatu kerajaan yang memiliki majoriti tipis ini mahu mewujudkan juga jawatan ini, maka perlu persetujuan ADUN pembangkang seperti YB Rara. Pada masa itu untuk membolehkan pembangkang bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan itu sudah pasti pembangkang seperti YB Rara akan menuntut mestilah daripada lima orang ADUN lantikan itu mestilah dua daripadanya untuk pembangkang. Jika tidak pembangkang tidak mahu menyokong.

Katalah ia dipersetujui bersama maka akhirnya setelah dilantik dengan formula ini maka kerajaan yang wujud tetap dengan majoriti tipis. Tak selesai masalah juga! Ini dipanggil ‘paradoks’.

Jadi, cara yang terbaik ialah seperti apa yang kerajaan Pahang telah lakukan dengan meminda perlembagaan sekarang dengan mewujudkan jawatan ADUN lantikan ini. Jangan pula tunggu dah majoriti tipis baru nak pinda. Waktu itu dah terlambat!

Untuk pengetahuan YB Rara, tindakan kerajaan Pahang ini dipanggil ‘proaktif’. Proaktif ini bermaksud mengambil langkah awal sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini dengan membuat jangkaan awal terhadap kemungkinan-kemungkinan yang berlaku.

Perkataan proaktif ini pertama kali saya dengar sekitar awal 1990an ketika saya di sekolah menengah. YB Rara tak pernah dengarkah?

Untuk pengetahuan YB Rara juga, lawan kepada perkataan ‘proaktif’ ialah ‘reaktif’, iaitu bertindak hanya apabila sesuatu masalah sudah pun berlaku. Atau bertepatan dengan peribahasa ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Takkanlah profesional, berpelajaran tinggi dan pemimpin politik seperti YB Rara masih berpegang kepada konsep reaktif yang lembab?

Sesebuah kerajaan dengan majoriti tipis sentiasa berada di dalam ketidaktentuan. Sebuah kerajaan dengan majoriti satu kerusi sentiasa berdepan dengan risiko digulingkan. PAS Kelantan dan BN Terengganu pernah berhadapan situasi memerintah dengan majoriti satu kerusi. Sekarang ini pun Johor, Perak, Melaka, Kedah malah kerajaan Persekutuan sendiri berada dalam majoriti tipis.

Ia akan menimbulkan kesulitan apabila ada wakil rakyat yang keuzuran dan tidak dapat hadir ke sidang DUN akan menyebabkan sesuatu enekmen yang ingin diluluskan oleh kerajaan negeri mungkin gagal diluluskan. Ini pernah berlaku kepada kerajaan Negeri Melaka selepas PRU14 semasa pemerintahan PH apabila mereka gagal meluluskan pelantikan Senator hanya kerana dua orang ADUN PH pada masa itu keluar dewan.

Pada pendapat saya juga, Terengganu dan Kelantan sangat perlu untuk mewujudkan kerusi ini. Selain daripada sebagai persediaan untuk berdepan situasi majoriti tipis, ia juga sangat penting memandangkan hampir tiada kawasan majoriti bukan Islam di kedua-dua negeri yang diperintah PAS ini.

Jika di peringkat pusat kita boleh melantik Senator sebagai ganti setara dengan jawatan Ahli Parlimen bagi membawa wakil-wakil pihak berkepentingan ke Parlimen untuk menyuarakan isu-isu kumpulan tertentu. Namun di peringkat negeri tidak wujud institusi seperti Dewan Negara ini. Maka ia menyebabkan suara-suara golongan minoriti ini tidak dapat didengar di dalam Dewan Undangan Negeri.

Negeri Melaka juga sepatutnya ada peruntukan untuk Adun Lantikan ini. Walau pun pada masa ini kerajaan Melaka tidak ada majoriti dua pertiga di DUN Melaka untuk mengubah Undang-undang Tubuh, namun saya rasa ADUN-ADUN PH akan menyokong usul ini jika dibentangkan. Sebab mereka juga pernah rasa peritnya menjadi kerajaan dengan majoriti tipis dan gagal melantik Senator awal tahun ini semasa mereka masih menjadi kerajaan.

IBNU JANIE
• Editor Berita PAS Melaka dan WARM
• Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)