Home Artikel PAS Melaka

PAS Kawasan Jasin santuni mangsa banjir

230
SHARE

Oleh : Abu Fadhil

JASIN, 21 Nov : Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek bersama dengan AJK PAS Kawasan Jasin turun padang pagi ini menziarahi mereka yang terkesan dengan banjir yang berlaku di sekitar Serkam, di sini kelmarin.

Beberapa kawasan seperti Kampung Pulai, dan Kampung Tedong telah ditenggelami air sejak malam kelmarin ekoran daripada hujan lebat yang berterusan.

Bagaimanapun banjir mulai surut sejak pagi semalam dan para penduduk mulai pulang ke rumah masing-masing selepas ditempatkan sementara pusat pemindahan banjir berhampiran.

Ustaz Kamarudin yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Unit Amal Jasin dan penduduk kampung yang telah bekerjasama bergotong-royong membersihkan kawasan yang terkesan akibat banjir.

Dalam ziarah itu beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain barang keperluan kepada mereka yang terjejas.

Rata-rata penerima sumbangan yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAS Kawasan Jasin atas keperihatinan dan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.

Turut hadir bersama dalam membantu ialah Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Jasin, Mustaqim Zam Zam, pimpinan JPrD Serkam Malik, Adam dan Fauzee Mohammad.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)