Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Penyata pelajaran 1952 diluluskan

188
SHARE

21 NOVEMBER 1952

PADA hari ini dalam tahun 1952, Penyata Pelajaran 1952 atau Ordinan Pelajaran 1952 telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.

Tiga matlamat utama Penyata Pelajaran 1952 ialah yang pertama, untuk membekalkan dan mengekalkan pengetahuan, kemahiran dan perwatakan yang baik kepada setiap individu.

Kedua, untuk menggalakkan dan membolehkan sesuatu kaum menyesuaikan diri dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Manakala matlamat yang ketiga, untuk berusaha membentuk warganegara yang bersatu di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Antara langkah-langkah yang digariskan untuk mencapai matlamat ini ialah penubuhan sekolah-sekolah kebangsaan yang mengandungi dua jenis.

Sekolah aliran Inggeris dan mata pelajaran Bahasa Malaysia dijadikan mata pelajaran wajib dan Sekolah aliran Melayu dengan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua.

Sungguhpun begitu sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa perantaraan Kua-Yu (Cina) dan Tamil boleh disediakan jika terdapat lebih dari 15 orang murid dalam satu darjah mengikut keperluan bahasa perantaraan masing-masing.

Sesungguhnya, Penyata Pelajaran 1952 ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi asas perpaduan negara yang sedang dibina.

Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)