Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Pejuang serta pendakwah Islam yang tidak didendang

269
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

TUAN Guru Haji Johar Maksin (1912 – 1994), atau nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Johar Bin Maksin Bin Ibrahim, dilahirkan pada tahun 1912 di Melaka. Almarhum merupakan datuk kepada Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka yang juga YDP PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menyingkap kembali sejarah hidup Tuan Guru Haji Johar sudah pasti akan menyentuh perasaan bagi sesiapa yang pernah berguru dan hidup sewaktu dengan Almarhum. Ramai anak-anak murid Almarhum dan yang masih ada sekarang adalah generasi yang kedua.

Almarhum hidup sezaman dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang dan sama-sama menuntut ilmu dengan wali Allah Tok Kenali di Kota Bharu. Setelah selesai menuntut ilmu, Tuan Guru Haji Johar pulang ke kampung halaman dan berkhidmat sebagai Imam di Masjid al-Jawahir dan juga mengajar masyarakat setempat. Tuan Guru Haji Johar adalah seorang ulama’ yang alim di dalam ilmu fekah.

Oleh kerana kealimannya, beliau digelar ‘Pelita Agama’. Almarhum menjadi tempat rujukan orang kampung sekiranya terdapat khilaf dalam bab agama. Almarhum sering dijemput mengajar agama di sekitar masjid yang berdekatan. Walaupun dalam keadaan uzur Almarhum tetap meneruskan pengajian agama di masjid-masjid berdekatan.

Almarhum ada membina sebuah surau di perkarangan rumahnya. Surau itu masih ada lagi sekarang ini, tapi sudah tidak digunakan.

Di surau ini, Almarhum mengajar al-Quran pada anak-anak kampung sehingga khatam berkali-kali selama puluhan tahun. Tuan Guru meninggal dunia pada 20 November 1996 ketika berusia 84 tahun kerana serangan sakit jantung dan jenazahnya dikebumikan dalam kawasan Masjid al-Jawahir. Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)