Oleh : Al-Ansari
ALOR GAJAH, 19 Nov : “Larangan jualan arak di kedai runcit di Kuala Lumpur seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa adalah perkara yang wajar dicontohi demi membendung masalah berkaitan arak.
“Tidak ada kaitan dengan isu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka seperti yang dinyatakan oleh pemimpin politik tertentu kerana orang bukan Islam masih lagi boleh membeli arak di kedai yang dibenarkan.
“Larangan ini lebih bersifat kawalan, bukanlah mengharamkan terus arak untuk yang bukan Islam. Malah Kelantan sudah lama mengamalkan undang-undang berbentuk kawalan ini. Antaranya tidak boleh dijual secara terbuka dan tidak boleh dijual di premis awam dan telah diterima pakai oleh seluruh masyarakat Kelantan sekian lama”.
Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin, ini secara tidak langsung dapat mengawal masalah pemandu mabuk yang akan menyebabkan kemalangan jalan raya dan juga masalah sosial yang berkaitan.
Bagaimanapun Ustaz Syahbudin berpendapat jumlah lesen yang dikeluarkan oleh negeri masing-masing adalah bergantung kepada demografi rakyat mengikut negeri.
Ustaz Syahbudin berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.