Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Penutupan Kongres Kerjasama Malaysia yang pertama

438
SHARE

17 November 1966

PADA hari ini dalam tahun 1966, Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama, YB Tuan Haji Mohamad Ghazali bin Haji Nawi telah menutup Kongres Kerjasama Malaysia, yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Kongres itu merupakan yang pertama kali diadakan sejak tertubuhnya Syarikat Kerjasama dalam tahun 1922.

Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan dalam kongres itu. Antaranya termasuklah kertas kerja yang bertajuk “Kerjasama dan Pembangunan Negara” oleh Profesor Ungku Aziz, “Pelajaran dan Penerangan Kerjasama” oleh Cik Rafidah Aziz dan “Undang-Undang Zaman Penjajahan” oleh Encik L.J. Fredericks.

Dalam kongres ini juga, beberapa usul telah diterima. Antaranya, kongres ini bersetuju:

• Memohon kepada kerajaan supaya memberi peranan yang lebih luas kepada syarikat-syarikat kerjasama bagi pembangunan ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975).

• Melaksanakan rancangan kerjasama secara pemusatan mengikut kawasan-kawasan atau fungsi-fungsi tertentu dan selaras dengan kemajuan negara;

• Memohon kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat kerjasama mendapat kemudahan dalam sebarang perusahaan pemasaran, perniagaan dan perdagangan;

• Menubuhkan Bank Kerjasama yang akan bertindak sebagai badan kewangan pusat untuk seluruh syarikat-syarikat kerjasama; dan

• Meminta kerajaan mengkaji dan mengadakan satu Undang-Undang Kerjasama yang seragam di seluruh Malaysia.

Kongres Kerjasama Malaysia yang berlangsung sehingga hari ini dalam tahun 1966 merupakan satu kongres yang berfaedah terutama dalam usaha menyatukan seluruh gerakan koperasi di negara ini.

Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)