Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 2 kes baharu di Melaka Tengah

473
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 17 Nov : Dua kes baharu direkodkan di Melaka hari ini di mana kedua-duanya dikesan di Daerah Melaka Tengah, seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Melaka di laman Telegram rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu satu kes saringan bergejala kontak rapat berumur 39 tahun di bawah Kluster Berendam dikesan di Mukim Batu Berendam, manakala satu lagi kes saringan pekerjaan berumur 25 tahun dikesan di Mukim Balai Panjang di mana kedua-duanya adalah daripada kategori jangkitan tempatan.

Laporan itu juga menyebut satu kes sembuh dilaporkan hari ini sementara 48 kes lagi masih dirawat dengan dua daripadanya adalah kes ICU.

Mukim Balai Panjang menjadi mukim terbaru diisytiharkan sebagai zon kuning di samping 12 lagi mukim lain iaitu Durian Tunggal (3), Klemak (1), Ayer Molek (9), Batu Berendam (19), Bukit Katil (3), Bukit Rambai (1), Cheng (1), Tanjung Minyak (1), Ayer Panas (1), Chohong (1), Merlimau (10) dan Rim (1).

Sementara itu kes Covid-19 kes masih mencatatkan empat angka iaitu sebanyak 1210 kes di seluruh negara dengan Sabah kembali menjadi negeri dengan kes harian tertinggi dengan mencatat 499 kes selepas dua hari berturut-turut Kuala Lumpur merekodkan kes harian tertinggi sebelum ini.

Semua negeri mencatatkan kes baharu hari ini kecuali Pahang dan Perlis.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)