Home Berita PAS Melaka

Kenang dan rai keagungan kelahiran Rasulullah SAW sepanjang tahun – Datuk Kamarudin

713
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 15 Nov : Bulan Rabiulawal sangat istimewa dan sangat dimuliakan oleh umat Islam seluruh dunia kerana ia bulan kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW yang jatuh pada hari ke-12 dan wajar dikenang juga diraikan oleh semua umat Islam bukan sahaja di bulan Rabiulawal tetapi sepanjang tahun untuk hidup mencintai Rasulullah SAW.

Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Haji Sidek berkata demikian semasa memberi Tazkirah Khas Maulidur Rasul bertajuk ‘Rasulullah Penyatu Ummah’ di Surau At-Taqwa, Kampung Mata Kucing, Melaka yang disiarkan secara langsung di laman Facebook PAS Negeri Melaka malam tadi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka itu berkata, Rabiulawal yang mendapat nama sempena musim bunga, mencatat banyak peristiwa penting berkaitan Rasulullah SAW seperti permulaan hijrah Baginda meninggalkan Makkah menuju Madinah dan tarikh kewafatan Khatimul Anbiya itu.

Bulan kelahiran Rasulullah SAW, menurut Ustaz Kamaruddin, wajar diraikan dengan mengadakan majlis sambutan sempena memperingati kelahiran agung itu, selain mengadakan perarakan untuk menzahirkan kegembiraan dan rasa syukur terhadap nikmat pengutusan Rasul akhir zaman dan majlis ilmu seperti ceramah serta forum untuk menceritakan akidah, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW kepada masyarakat.

“Justeru, memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW amat wajar memandangkan pengutusan Baginda membawa pedoman, petunjuk dan rahmat kepada manusia, sekali gus nikmat tidak ternilai dan tiada tolok bandingnya, ia sangat efektif dalam menyuntik dan menyubur rasa rindu, cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dalam kalangan generasi muda.

“Kita hendaklah meletakkan kecintaan kepada Nabi SAW melebihi cinta terhadap diri sendiri, kedua-dua orang tua, anak serta manusia keseluruhannya,” ujar beliau.

Tambah Ustaz Kamarudin lagi, Anas ibnu Malik meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hingga aku menjadi terlebih dikasihinya berbanding anak-anak, kedua-dua ibu bapa dan manusia lainnya. (HR Bukhari)’.

Beliau turut menolak pandangan segelintir masyarakat yang menganggap Maulidur Rasul sebagai bidaah.

“Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata sesungguhnya mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ia suatu bidaah yang baik.

“Pandangan ulama hadis dan fiqh itu menunjukkan ada pahala daripada amalan berkenaan. Meskipun Rasulullah SAW tidak pernah mengadakan perarakan sempena kelahiran Baginda, ini tidak bermakna haram dilakukan,” jelas beliau.

Menurut Ustaz Kamarudin lagi, berdasarkan Quran surat Al A’raf ayat 157, Allah SWT berfirman mengenai keutamaan memuliakan dan mencintai Nabi Muhammad SAW.

“Ada pun orang-orang yang beriman dengan Nabi dan memuliakan Nabi dan membantu agama Nabi dan mereka yang mengikut cahaya yang diturunkan iaitu Islam, mereka ini tergolong di kalangan orang-orang yang berjaya,” kata beliau menjelaskan terjemahan ayat 157 surah Al A’raf tadi.

Dalil tersebut menurut beliau menjadi salah satu acuan bahawa pentingnya memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan bentuk peribadatan.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)