Home Berita PAS Melaka

Aduan rakyat : Lintasan zebra depan Masjid Aminin Sungai Tuang siap dibina

533
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 11 Nov : Penduduk kampung Sungai Tuang hari ini melahirkan rasa syukur apabila lintasan zebra untuk pejalan kaki di hadapan Masjid Aminin telah siap dibina oleh pihak Jabatan Kerja Raya pagi tadi.

Selain di hadapan masjid ini, turut dibina ialah lintasan zebra di hadapan Sekolah Agama JAIM berhampiran untuk kegunaan murid-murid melintas jalan.

Mantan Sidang Kampung Sungai Tuang, Haji Yahya Zakaria, 67, berkata,
beliau sangat berpuas hati dengan pembinaan lintasan zebra tersebut.

“Dengan adanya lintasan zebra ini saya harap pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya kerana ini adalah kawasan kampung dan keselamatan penduduk mesti diutamakan,” ujar beliau.

Namun begitu beliau melihat bahawa lintasan zebra itu dibina lebih tebal di Sekolah Agama JAIM berbanding dengan yang dibina di hadapan Masjid Aminin.

Bagaimanapun beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab dalam mengusahakan perkara ini termasuk Pengerusi JPKK Haji Hanapiah Taib dan Pengerusi Masjid Aminin Haji Ridzuan Taib.

Pihak Wartawan Rakyat Melaka (WARM) CPP-Berita PAS pada 1 Oktober lepas pernah menyiarkan tentang kebimbangan para jemaah dari kalangan penduduk kampung ini terhadap keselamatan mereka yang melintas jalan untuk solat berjemaah di masjid ini berikutan ramai pemandu yang memandu secara laju dan melulu di jalan raya di hadapan masjid ini.

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)