Home Berita PAS Melaka

Semoga Allah SWT beri kekuatan kepada Ustaz Halim Maidin – PJ PAS Melaka

603
SHARE

Oleh : Ibnu Janie
Foto : Abu Anas

TANGGA BATU, 4 Nov : “Harap dapat kita berdoa terus kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan kepada beliau dan keluarga beliau menanggung sedikit kesabaran yang mereka hadapi.”

Demikian dinyatakan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek ketika melakukan ziarah dan kunjungan hormat ke atas mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Halim Maidin yang telah selamat menjalani pembedahan baru-baru ini di kediaman beliau di Taman Sri Tanjung, Kampung Gelam, di sini, pagi semalam.

Ustaz Abdul Halim, 61, pada Khamis malam 22 Oktober lepas telah melalui satu pembedahan di Hospital Melaka bagi membuang sebahagian kaki kiri beliau sehingga ke paras paha akibat daripada penyakit kencing manis yang dihidapi beliau.

 

Menurut Ustaz Kamarudin ziarah yang dilakukan ini adalah untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan beliau selepas menjalani pembedahan itu.

“Alhamdulillah pada pagi ini PAS Negeri Melaka dan PAS Kawasan Tangga Batu melakukan kunjungan ini di mana baru-baru ini dimaklumkan beliau telah ditimpa satu musibah hasil daripada penyakit yang beliau hidapi sekian lama, di mana kakinya terpaksa dipotong.

“Kita telah ziarah dan bertanya khabar kepada beliau. Insya-Allah, selepas daripada kakinya dipotong itu nampak kesihatannya bertambah baik, selera makan pun ada.

“Kita di peringkat PAS Negeri Melaka menyampaikan ucapan takziah kepada beliau dan keluarga beliau. Mudah-mudahan Allah SWT beri cepat kesembuhan kepada beliau agar dapat sama-sama membantu perjuangan PAS.

“Dan di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau kerana beberapa hari yang lepas beliau telah dianugerahkan satu pingat iaitu BCM (Bintang Cemerlang Melaka) oleh TYT Gabenor Negeri Melaka di atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada masyarakat.

“Mudah-mudahan penganugerahan bintang tersebut dapat mengubati perasaan dukacita beliau yang telah ditimpa musibah ini.” ujar beliau.

Kunjungan ini turut disertai Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Haji Bakri Jamaluddin, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu Haji Rafie Ahmad bersama beberapa orang pimpinan daripada Badan Perhubungan PAS Melaka dan PAS Kawasan Tangga Batu.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)