Home Berita PAS Melaka

Rencana: Benarkah kempen BMF sudah berkubur?

1000
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

JIKA kita meniti di media-media sosial pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) pada masa sekarang pasti kita akan berjumpa dengan hantaran-hantaran atau komen-komen yang menyindir dan bertanya ‘apa sudah jadi dengan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) sekarang?

Untuk makluman pembenci-pembenci BMF ini, kempen ini tetap berterusan di kalangan orang-orang Islam yang ada kesedaran. Cuma bezanya dahulu kempen ini mendapat tindakbalas negatif dari kerajaan PH yang memerintah selepas PRU14.

Sebagai contoh, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak pada ketika PH berkuasa, Asmuni Awi telah memaklumkan kepada media bahawa Kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) di dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 18 Oktober tahun lepas.

BMF sebenarnya bukan bermaksud memboikot produk bukan Islam. Boikot hanya terjadi pada sesetengah produk bukan Islam yang mengelirukan orang Islam dengan menggunakan nama berunsur Islam dan menggunakan tulisan jawi semata-mata untuk menarik orang Islam menggunakan produk mereka.

Tapi ‘puak-puak’ ini apabila kita mahu mewujudkan silibus tulisan jawi dan mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Pahang mereka kuat menentang. Kerana itu orang Islam marah dengan sikap mereka yang hanya menggunakan jawi dan nama berunsur Islam hanya untuk keuntungan perniagaan mereka semata-mata. Di situ terjadi boikot. Itu pun atas inisiatif orang ramai, bukan agenda rasmi kempen BMF ini.

Sebab itu semasa awal-awal PN mengambil alih kerajaan daripada PH pada awal tahun lepas beberapa orang wakil rakyat PAS menjadi sasaran serangan daripada penyokong-penyokong PH kerana membeli stok untuk bantuan Covid-19 daripada kedai bukan Muslim.

Ini yang ramai tidak faham. Kempen BMF bukan bermaksud boikot, ia lebih bermaksud memberi lebih keutamaan kepada perniagaan milik orang Islam. Kita hidup dalam masyarakat majmuk dan kita saling bergantungan antara satu sama lain.

Bermula dengan memberi imej dan naratif buruk terhadap kempen BMF seolah-olah ia semata-mata memboikot produk non-muslim, ia adalah satu cara bagaimana PH memburuk-burukkan kempen ini. Boikot produk orang bukan Islam itu sendiri satu tokok tambah daripada konsep BMF yang mereka ciptakan. Bila kita tidak ikut konsep rekaan mereka itu lalu mereka tolong marah pula.

Tapi jika kita benar-benar memboikot produk keluaran bukan Muslim pula maka mereka akan tuduh pula PAS sebagai ekstrem dan perkauman. Ini yang orang-orang PAS mesti berhati-hati. Jangan termasuk perangkap.

Kita jangan nafikan bahawa setiap bangsa samada Cina, India atau apa-apa bangsa pun di dunia ini pasti ada naluri untuk mengutamakan bangsa mereka sendiri. Sepertimana jika ada ahli keluarga atau kawan-kawan kita yang berniaga pun pasti kita ada naluri untuk mengutamakan keluarga atau kawan-kawan. Adakah ini satu kesalahan?

Orang-orang Cina yang mana bangsanya memang diakui hebat dalam bidang perniagaan juga ada naluri untuk mengutamakan bangsa mereka sendiri. Lihat sahaja parti DAP. Walau pun mereka terjerit-jerit mengatakan bahawa mereka parti berbilang kaum dan bukan parti Cina tetapi lihatlah sendiri berapa ramai bangsa bukan Cina di dalam Jawatankuasa Pusat DAP?

Jangan nafikan bangsa Cina atau India pun mempunyai naluri untuk mengutamakan bangsanya dalam perniagaan. Namun pernahkah anda mendengar orang-orang Cina membuat kempen ‘Buy Chinese First’? Tak pernah bukan?

Jadi mengapa tiada kempen ‘Buy Chinese First’? Ia adalah kerana mereka sudah mempunyai kesedaran semula jadi. Bangsa Cina tidak perlu disedarkan untuk membantu bangsa mereka sendiri. Itulah bagusnya bangsa Cina.

Namun sesetengah bangsa Melayu masih mempunyai stigma tidak percaya kepada kemampuan bangsanya sendiri. Bukan semua bangsa Melayu begitu, tapi ramai. Kerana itu bangsa Melayu perlu kepada kempen-kempen kesedaran seperti ini.

Bangsa-bangsa lain pula tidak harus curiga dengan kempen ini. Realitinya bangsa Cina dan India sudah mempunyai tapak yang kukuh dalam perniagaan. Majoriti mereka juga pengilang-pengilang yang mengeluarkan produk-produk yang dijual di kedai-kedai Muslim.

Sekarang bagilah peluang kepada orang-orang Islam yang penulis rasa baru mempunyai kesedaran terhadap perniagaan ini untuk membina kekuatan ekonomi mereka sendiri. Sekiranya semua bangsa di Malaysia ini sama-sama memiliki kekayaan maka tidak akan ada lagi rasa curiga antara kaum di dalam negara ini.

Dengan jatuhnya kerajaan PH apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan maka kempen BMF ini terus hidup segar dan berjalan tanpa sebarang halangan. Orang Islam kini bebas untuk meningkatkan ekonomi sesama Muslim tanpa rasa takut dengan halangan daripada kerajaan seperti dahulu.

Jadi hiruk-pikuk yang berlaku dahulu adalah kerana wujudnya pertembungan antara pihak yang mahu memperjuangkan BMF dengan kerajaan PH yang ketika itu yang mahu menggagalkan kempen ini. Sekarang tiada lagi. Kerana itu ia nampak senyap.

Kempen BMF tidak mati. Malah ia terus semarak di dalam masyarakat Muslim menjadi agenda berterusan untuk memastikan umat Islam benar-benar menguasai ekonomi negara seperti yang dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi apabila orang Islam adalah majoriti di dalam negara ini.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah Cetak pada 26 Oktober 2020)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)