Home Artikel PAS Melaka

Kolumnis | Iqtisad rakyat : Zakat pendapatan

440
SHARE

Assalamualaikum

Bersua kita kembali di ruangan Iqtisad Rakyat. Pada siri sebelum ini kita telah berbicara tentang konsep zakat di dalam Islam serta peranan dan kepentingannya. Kita juga telah menghuraikan jenis-jenis zakat yang diwajibkan di dalam Islam.

Pada siri kali ini, penulis akan berkongsi tentang salah satu daripada jenis zakat harta yang ada dalam Islam iaitu zakat pendapatan.

Apakah yang dimaksudkan dengan zakat pendapatan?

Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan daripada hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion makan gaji sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
[Al-Baqarah (2): 267]

Dalam sebuah Hadis (yang bermaksud): Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah daripada bapanya daripada datuknya daripada Nabi SAW bersabda:
Sedekah ditekankan atas setiap Muslim, lalu para sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan). Beliau menjawab: Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah” (HR Bukhari & Muslim)

Fatwa Kebangsaan tentang Zakat Gaji & Pendapatan Profesional, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Profesional.

“Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat”.

Zakat pendapatan sebagai ganti cukai pendapatan?

Tahukah anda bahawa tidak banyak negara Islam di dunia ini yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab zakat atau cukai ini.

Di Malaysia, undang-undang negara ini menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Akta berkenaan menyatakan: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Rebat secara umumnya bermakna, jumlah cukai yang dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat. Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai dibayar. Dengan kata lain, jika jumlah zakat pendapatan yang dibayar bersamaan dengan nilai cukai pendapatan yang perlu dibayar bagi tahun tersebut, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Dengan akta dan keistimewaan yang diberikan kepada umat Islam di negara kita ini, penulis berharap agar pihak Majlis Agama Islam di setiap negeri dapat mempertingkatkan lagi usaha untuk menarik lebih ramai lagi umat Islam di negeri masing-masing untuk membayar zakat pendapatan. Justeru ia secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan lagi jumlah pungutan zakat bagi setiap negeri dan lebih banyak lagi manfaat yang boleh diberikan atau disalurkan kepada umat Islam di setiap negeri tersebut.

Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi akan hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (tahun semasa). Ini bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2020, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Contoh mudah pengiraan (anggaran kasar) zakat pendapatan bagi individu :

1. Pendapatan tahunan : RM 40,000.00
2. Tolak perbelanjaan yang dibenarkan seperti untuk diri, isteri, anak-anak, KWSP, ibubapa dan yang berkaitan untuk setahun : RM30,000.00
3. Pendapatan yang layak zakat (1– 2) : RM 10,000
4. Zakat yang wajib dibayar : RM10,000 x 2.5% = RM250

Jika ada 300,000 umat islam yang bekerja di dalam negeri Melaka contohnya dan setiap orang membayar zakat pendapatan secara purata pada kadar RM250 bermakna kutipan zakat negeri Melaka melalui zakat pendapatan sahaja adalah sebanyak RM75,000,000.00 (RM75 juta) setahun. Bayangkan kalau nilainya melebihi RM250 bagi setiap pembayaran zakat

Justeru sudah sampai masanya setiap negeri melipatgandakan usaha murni dan sah di sisi undang-undang ini bagi sama – sama memperkasa dan memperkemaskan lagi soal-soal yang berkaitan dengan zakat pendapatan ini bagi kemaslahatan seluruh umat Islam di negara kita ini.

Terima kasih dan moga bermanfaat.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HAJI RAFIE AHMAD
Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Tangga Batu
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka

Sumber : zakat.com.my


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)