Home Berita PAS Melaka

Pejabat Ketua Menteri nafi arahan larangan rentas negeri dikuatkuasa di Melaka

864
SHARE

 

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 20 Okt : Pejabat Ketua Menteri Melaka sebentar tadi telah mengeluarkan kenyataan menafikan wujudnya arahan larangan rentas negeri bagi negeri Melaka.

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Pejabat Ketua Menteri Melaka sebentar tadi itu susulan penyebaran satu berita palsu yang tular hari ini yang menyebut bahawa larangan rentas negeri akan dikuatkuasakan bagi Negeri Melaka bermula malam ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang ditularkan.

“Dalam keadaan semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara termasuk di Negeri Melaka, dengan peningkatan kes jangkitan positif setiap hari, orang ramai dinasihat supaya tidak menyiarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan, kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu orang ramai, khususnya rakyat Negeri Melaka turut dinasihatkan tidak mempercayai sebarang khabar angin atau berita palsu yang disiarkan atau diperolehi daripada sumber-sumber yang tidak sah atau tidak mempunyai autoriti.

“Untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan perkembangan dan situasi semasa pandemik Covid-19 khususnya di Negeri Melaka, orang ramai diminta merujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Melaka atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka.” ujar kenyataan itu.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)