NAMPAKNYA pihak sebelah sana semakin yakin yang langkah 13 Oktober ini bakal berjalan lancar. Jika benar dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang saya gelar sebagai ‘the man who has numbers’ itu, maka kerajaan PN akan bertukar kepada kerajaan PH di bawah pimpinan Anwar seawal minggu depan.
Tapi jangan seronok sangat. Anwar kena ingat, sudah tiga kali dia mendakwa dia ada ‘numbers‘. Dulu semasa peristiwa 16 September 2008 pun perkara yang sama pernah berlaku. Ia berakhir dengan masuk angin keluar asap apabila Anwar sekadar menyalahkan Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul undi tidak percaya beliau.
Disebabkan perkara itulah juga, pada 8 Februari 2009 mendiang Karpal Singh telah membuat satu sidang akhbar susulan daripada tindakan BN yang pada ketika itu menggulingkan kerajaan PR Perak.
Sebenarnya sidang akhbar itu adalah untuk mengumumkan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak atas kejadian ‘rampasan kuasa’ ini. Namun sidang akhbar ini telah menjadi medan menghentam Anwar dan beberapa orang pemimpin tertinggi DAP yang didakwa menurut sahaja kehendak Anwar.
Kata Karpal dalam sidang akhbar itu “Anwar Ibrahim telah mencipta banyak masalah pada negara ini. Anwar Ibrahim harus bertaubat!”. Video ucapan Karpal yang terkenal ini masih boleh ditonton di Youtube. Saya letak di bawah tulisan ini.
Apa yang membuatkan Karpal naik hantu adalah kerana kekesalannya atas tindakan Anwar yang mempromosikan lompat parti berdasarkan rancangan meganya menjatuhkan kerajaan BN dalam peristiwa 16 September 2008 itu. Dan akhirnya PR menanggung karma sehingga kerajaan PR Perak direnggut pada 6 Februari 2009 dengan cara yang sama yang cuba dilakukan Anwar terhadap kerajaan persekutuan yang dikuasai BN pada masa itu.
Kerajaan PR Perak ketika itu tumbang apabila dua orang Adun PKR dan seorang Adun DAP mengisytiharkan menyokong BN. Peristiwa ini berlaku tidak sampai beberapa bulan selepas Anwar gagal dalam projek 16 Septembernya itu.
Itu dulu. Dan pada 28 Februari tahun ini semasa kerajaan PH tumbang kerana Perdana Menterinya Tun Mahathir Mohammad meletak jawatan, pada masa itu Anwar juga mendakwa mempunyai ‘numbers’ untuk mengambil alih jawatan PM.
Pada hal pada masa itu banyak antara Ahli Parlimen PKR sendiri sudah pun mengikut jejak Azmin untuk bersama Muhyiddin, sementara pimpinan Bersatu yang menyokong Tun dan Warisan pula terang-terang tidak mahu menyokong Anwar. Tapi Anwar tetap kata dia ada ‘numbers‘.
Namun selepas Muhyiddin membentuk kerajaan dan beberapa kali sidang parlimen berlangsung, bukan saja Anwar, malah gabungan seluruh pembangkang masih belum dapat menandingi Ahli Parlimen yang ‘dikumpul’ parti kerajaan.
Walau pun dengan kekuatan sekadar 113 kerusi berbanding 109 kerusi daripada pembangkang namun kerajaan Muhyiddin masih berjaya meluluskan beberapa akta di dalam sidang parlimen. Mana ‘numbers‘ Anwar? Campur dengan ‘numbers‘ Mahathir pun tetap kalah!
Penghujung Jun lepas Tun Mahathir membuat pengisytiharan bahawa Shafie Apdal adalah calon PM jika PH menjadi Kerajaan Persekutuan semula. Tun juga mendakwa cadangan ini disokong oleh DAP dan PAN. PKR sahaja yang tidak menyokong.
Dan pada 23 September baru-baru ini Anwar mendakwa ada ‘numbers’… sekali lagi.
Angin bertiup kencang katanya ada Ahli Parlimen UMNO bakal melompat untuk mencukupkan ‘numbers‘ Anwar.
Namun kali ini Anwar kena pastikan ‘move’nya kali ini menjadi. Jika tidak, Anwar akan berdepan dengan malu yang maha besar. Jika Anwar gagal bermakna sudah tiga kali dia ‘kantoi’ menipu dengan cara yang sama.
Kali ini kali ketiga. Ia akan jadi kali terakhir untuk Anwar membuktikan yang dia bukan ‘auta’. Jika kali ini Anwar gagal membuktikannya walau dengan alasan apa sekali pun memang Anwar akan diketawakan berguling-guling dan secara berjemaah oleh rakyat.
Namun begitu Anwar sebenarnya masih boleh terus mencuba lagi selepas ini sekiranya ‘move’nya kali ini gagal lagi. Tarikh 16 September sudah. 28 Februari pun sudah. Dan yang terbaru Anwar akan mengadap Yang Dipertuan Agong pada 13 Oktober ini untuk membuktikan ‘numbers‘ yang beliau ada.
Selepas ditolak tiga tarikh itu ada 362 tarikh lagi dalam setahun yang Anwar boleh pilih lagi selepas ini untuk projek ‘I have numbers’nya itu.
Anyway, good luck Anwar! Jangan tak jadi!
IBNU JANIE
• Editor Berita PAS Melaka
• Ketua Unit Berita
Jabatan Penerangan PAS Melaka