Home Berita PAS Melaka

Pena Kaunselor : Seni mempengaruhi kawan dan lawan – Bahagian 2

637
SHARE

Oleh : Abu Harith

SAMBUNGAN seterusnya teknik untuk mempengaruhi orang lain dalam kehidupan adalah :

Membangkitkan minat dalam diri orang lain

Pastinya bahagia bukan, apabila ada seseorang tekun mendengar apa yang sedang kita sampaikan? Dia penuh khusyuk memberi perhatian.

Begitu juga dengan orang lain, pastinya mereka pun suka apabila ditanya, diajak dan digalakkan untuk bercerita tentang apa yang mereka gemari.

Menurut Profesor Overstreet, salah satu cara untuk mempengaruhi orang lain ialah, “Pertama, bangkitkan keinginan dalam diri orang lain. Mereka yang dapat melakukan perkara ini menggenggam dunia dalam tangannya. Mereka yang gagal, mengikuti jalan yang sepi.” tegas beliau.

Benar, manusia ini fitrahya gemar untuk mengetahui tentang diri mereka sendiri.

Sebagai contoh, sesorang yang telah siap mengambil gambar foto berkumpulan. Pastinya apabila gambar tersebut sampai ke tangannya, barang tentu individu pertama yang dicari adalah dirinya sendiri. Setuju bukan?

Untuk itu, bagi mempengaruhi kawan mahupun lawan, pengaruhilah mereka untuk bercakap mengenai apa yang mereka inginkan. Dan tunjukkan kepada mereka bagaimana hendak memperolehinya. Salah satunya tanyakan soalan yang tepat tentang diri mereka.

Manusia itu fitrahnya juga suka dinasihati apabila diperlukan. Tambahan pula nasihat dan pendapat yang diberikan itu memberi kesan kepada hati dan kehidupan mereka.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُلْ لَهُمْ فِي أَنْفُسِهِمْ قَوْلًا بَلِيغ

“Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.”

-Surah An-Nisa’, Ayat 63

Ada satu rahsia besar kejayaan, iaitu keupayaan melihat sesuatu perkara daripada perspektif orang lain dan juga perspektif kita sendiri. Ini dinamakan sebagai EMPATI dalam kaunseling. Konsep ini sangat ditekankan bagi membina hubungan yang jelekit di antara kaunselor dan klien.

Semua ini adalah langkah untuk mempengaruhi dan seterusnya membina hubungan baik dengan orang lain.

Di sana ada formula yang dicadangkan bagi menggalakkan orang lain untuk mula berbicara rancak dengan kita. Formulanya adalah F.O.R.M:

F- Family
O- Occupation
R- Rest Time
M- Money

Saya kira topik-topik yang dicadangkan melalui Formula FORM ini boleh untuk kita cuba amalkan. Usaha kita ini tidak lain dan tidak bukan matlamatnya adalah untuk mengubah cara interaksi kita dengan orang lain ke arah yang lebih berkualiti.

Apabila kualiti ini dapat ditingkatkan insya-Allah, kualiti kehidupan kita turut meningkat. Tidak percaya tidak mengapa, buat sahaja.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

-Surah Al-Hujurat, Ayat 10

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)