Home Artikel PAS Melaka

Aduan rakyat : “Jangan sampai kami ambil tindakan sendiri!”.

4379
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 4 Okt : “Jangan sampai kami ambil tindakan sendiri!” kata seorang penduduk kampung Sungai Tuang yang berang dengan sikap peniaga-peniaga di Dewan Terbuka Sungai Tuang yang tidak menjaga kebersihan dan menyusahkan penduduk sekitar.

Penduduk kampung tersebut, Kamarudin Karim, 60, yang marah dengan sikap peniaga-peniaga yang berniaga berhadapan dengan rumah beliau berkata sikap segelintir peniaga mencacatkan pemandangan persekitaran pantai yang sepatutnya cantik dan indah.

“Tolong! Jaga kebersihan! Saya tidak marah berniaga, tapi sampah-sampah kenalah bersihkan. Kalau boleh bakar sekiranya perlu.

“Jangan tinggalkan bersepah! Sampah-sampah tu diterbangkan angin hingga sampai depan halaman rumah orang! Kami pula yang terpaksa menyapu sampah-sampah itu!” ujarnya kecewa.

Sementara itu, Mohd Noh Surin, 49, jiran kepada Kamarudin berkata, beliau juga tidak tahan lagi dengan kerenah peniaga-peniaga ini.

“Aduan telah pun kami buat kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), namun kita tidak nampak tindakan lebih tegas dari MPAG untuk mengatasi perkara ini. Hanya bagi notis sahaja.

“Saya harap pihak berkuasa MPAG dapat mengambil tindakan segera. Benda ni dah berlarutan berbulan-bulan.” ujar beliau.

Selain itu rata-rata penduduk kampung yang ditemui juga melahirkan rasa kecewa kerana semenjak peniaga-peniaga ini berniaga di Dewan Terbuka Sungai Tuang ini, dewan ini sudah tidak dapat diguna oleh orang ramai.

Berdasarkan maklumat dari pihak Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Tuang, notis amaran telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Malah Pengerusi JPKK Sungai tuang, Anip Taib, serta barisan anggota JPKK turut sama dalam pemberian notis ini pada malam 1 Oktober lepas, namun sehingga kini perkara ini masih berlaku dan menyusahkan penduduk sekitar.

Aduan ini diajukan oleh penduduk-penduduk kampung kepada pihak Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)