Home Artikel PAS Melaka

Amira, Nidal dan Iyaad wakili SRITI Londang ke Mahrajan Amal Islami peringkat negeri

321
SHARE

Oleh : Sumayyah Ahmad

MASJID TANAH, 25 Sept:
Amira, Nidal dan Iyaad, murid-murid tahun satu Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar Rasyid Londang akan mewakili sekolah ini ke Mahrajan Amal Islami peringkat Negeri Melaka.

Menurut Guru Besar SRITI Harun Ar Rasyid, Mohd Taufiq Jamil, murid-murid tersebut telah selesai diuji dalam Pertandingan Mahrajan Islami iaitu pertandingan tahunan yang melibatkan acara hafazan, khutbah, tilawah, bercerita dan azan yang diadakan di sekolah ini di sini kelmarin.

Jelas beliau, Nur Amira Safiya Mohd Khairi telah menjadi johan untuk dua kategori iaitu Tilawah Al Quran dan Bercerita; Mohd Nidal Arsyad Mohd Nasrun juga menjadi johan untuk dua kategori iaitu Kategori Hafazan dan Azan; manakala Mohd Iyaad Mohd Ismail pula menjadi johan untuk kategori khutbah.

Tambah beliau, bagi acara hafazan, murid Tahun Satu diuji hafalan Surah Al-Fatihah, Surah Taaha (Ayat 1-5), Surah Al-Humazah, Surah Al-Fiil, Surah Quraisy, Surah Al-Maa’uun dan Surah Al-Masa.

“Pertandingan ini melibatkan 14 orang murid telah dihakimi oleh lima juri jemputan khas yang mana pertandingan bertemakan Islam Memimpin Perpaduan.

“Sesi pembahagian hadiah pula disempurnakan oleh Muhammad Zahid Syahmi Abd Aziz, Pengerusi SRITI Kawasan dari Dewan Pemuda PAS Masjid Tanah.

“Murid yang menjadi johan setiap acara akan dibawa ke pertandingan peringkat negeri pada bulan Oktober, dan seterusnya jika layak akan mewakili Negeri Melaka ke pertandingan peringkat pusat pada bulan November nanti.” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, sempena norma baharu, pertandingan peringkat negeri dan pusat akan dilaksanakan secara atas talian di mana semua acara yang dipertandingkan pada tahun ni adalah bagi acara individu, manakala acara berkumpulan tidak dipertandingkan.

Taufiq berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semalam.