Home Artikel PAS Melaka

Cari solusi elak wakil rakyat ‘dibeli’ atau bawa lari kerusi.

234
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

TIDAK lama selepas Tan Sri Musa Aman mendakwa ada akuan bersumpah (SD) 33 orang Adun yang cukup untuk membolehkan beliau membentuk kerajaan baharu Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pula memaklumkan DUN Sabah dibubarkan.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah memperkenankan agar DUN Sabah dibubarkan untuk membolehkan rakyat memberi mandat baharu kepada mana-mana parti yang bakal bertanding untuk membentuk kerajaan.

Lalu berlakulah tuduh-menuduh berlakunya sogokan dalam usaha masing-masing untuk menubuh atau mempertahankan kerajaan. Di pihak PH-Warisan menuduh bahawa Adun-adun yang melompat parti dan menyokong Musa Aman sudah dibeli.

Malah tuduhan sogokan ini berlarutan sehingga TYT Yang Dipertua Negeri Sabah turut menjadi sasaran tuduhan menerima sogokan dari pihak Shafie Apdal bagi membubarkan DUN Sabah.

Pemimpin dan penyokong PH-Warisan pula bersorak gembira, kononnya pembubaran DUN Sabah telah mematahkan strategi Musa Aman untuk mengambil semula kerajaannya dengan menyogok Adun PH-Warisan. Kata pemimpin PH-Warisan bahawa Musa Aman telah kerugian jutaan ringgit apabila wang yang dikatakan dikeluarkan beliau untuk memujuk Adun-adun menyokong beliau menjadi sia-sia kerana DUN telah dibubarkan.

PRN jalan terbaik pulang mandat pada rakyat?

Pemimpin PH-Warisan juga mendakwa bahawa Pilihanraya Negeri (PRN) adalah jalan terbaik untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Namun, benarkah sekiranya rakyat memberi mandat baharu kepada mana-mana parti pilihan mereka melalui PRN secara mengejut ini maka akan wujudlah satu kerajaan yang benar-benar mendapat mandat rakyat? Belum tentu.

Bayangkan selepas keputusan PRN ini diumumkan dan samada PN atau PH-Warisan berjaya membentuk kerajaan, lebih-lebih lagi dengan majoriti tipis, adakah ada jaminan tidak akan berlaku lagi kejadian Adun lompat parti samada secara percuma atau berbayar?

Sebenarnya selagi tidak ada undang-undang yang menghalang berlakunya lompat parti maka selagi itulah tiada jaminan bahawa tidak akan berlaku lompat parti samada secara sukarela atau bersogok.

Dakwaan bahawa PRN akan memulangkan mandat kepada rakyat hanya berlaku sebaik keputusan pilihanraya itu diumumkan sahaja. Selepas semua Adun sah menjadi wakil rakyat maka mereka sudah bebas untuk mengkhianati mandat rakyat semula. Wal hasil balik asal!

Gubal akta elak jual beli kerusi wakil rakyat

Kerana itu perkara yang maha penting dalam menyelesaikan isu pengkhianatan mandat rakyat dan jual-beli kerusi wakil rakyat ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan menggubal atau meminda mana-mana akta berkaitan bagi menghalang wakil rakyat dari membawa lari atau menjual kerusi mereka.

Ahli Parlimen Padang Rengas, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz pada 22 Julai lepas ketika bercakap dalam sidang parlimen ada mengutarakan cadangan pindaan Akta Pilihanraya bagi mengatasi masalah ini. Antaranya, Nazri mencadangkan agar dalam pilihanraya, yang dipertandingkan ialah parti, bukan individu seperti yang sedang diamalkan sekarang. Ia juga dipanggil sebagai ‘senarai parti’ (party list).

Menurut cadangan Nazri itu, selepas sesuatu parti itu memenangi pilihanraya baharulah mereka melantik sesiapa yang mereka mahu untuk menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan pilihanraya yang mereka menangi. Dengan itu sesuatu kerusi itu adalah menjadi hak sesuatu parti yang memenanginya, bukan hak wakil rakyat yang mewakili parti di kawasan itu.

Tambah Nazri lagi, individu yang dilantik oleh partinya sebagai wakil rakyat di sesuatu kawasan itu boleh digugurkan sekiranya mereka keluar parti atau dipecat dari parti yang diwakilinya. Sekiranya itu berlaku maka parti yang memenangi kerusi itu boleh menggantikan wakil rakyat yang telah keluar parti itu dengan tokoh lain tanpa perlu mengadakan pilihanraya kecil (PRK).

Penulis melihat jika kaedah ini digunakan maka tidak perlu lagi kepada PRK. Sekiranya berlaku kematian di kalangan wakil rakyat juga, parti yang telah memenanginya juga hanya perlu menggantikannya dengan tokoh lain daripada parti mereka.

Ia juga boleh mengurangkan ‘politiking’ dan memberi kestabilan kepada kerajaan yang telah dibentuk sekurang-kurangnya kekal stabil sehingga habis penggal. Selain itu banyak wang boleh dijimatkan jika kerajaan tidak perlu mengadakan PRK lagi sekiranya berlaku sesuatu kepada wakil rakyat di sesuatu kawasan pilihanraya.

Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri juga boleh tidur lena tanpa perlu risau ‘bangun tidur pagi, kerajaan sudah hilang’.

Tapi mungkin dengan cara ini tiada lagi calon bebas boleh bertanding dalam pilihanraya. Semua yang mahu menjadi wakil rakyat perlu menyertai mana-mana parti politik yang sedia ada atau menubuhkan parti baharu.

Masa terbaik untuk usul akta ini

Dahulu kita agak sukar untuk mengusulkan undang-undang seperti ini semasa zaman BN kerana BN pada masa itu seperti tidak berminat untuk menghalang aktiviti lompat parti. Mungkin pada masa itu BN tidak menghadapi kemungkinan wakil mereka keluar parti dan menyokong pembangkang. Hampir tak mungkin berlaku. Yang mempunyai risiko wakil rakyat melompat adalah daripada kalangan pembangkang.

Namun selepas PRU14 yang menyaksikan wakil rakyat BN pula beramai-ramai melompat parti dan menyokong PH dan sekutunya, maka BN sudah pun mendapat pengalaman betapa peritnya hilang kerusi.

Ironinya di Sabahlah BN mendapat pengalaman paling perit. Dari 29 Adun dan 10 ahli parlimen yang mereka menangi pada PRU14 akhirnya tinggal hanya seorang Adun dan seorang ahli parlimen sahaja selepas yang lain semuanya sudah melompat parti.

Oleh kerana semua parti sudah merasai peritnya kerusi dibawa lari dan bersetuju bahawa aktiviti lompat parti bukan sesuatu yang mulia maka penulis berpendapat sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk mengusulkan apa-apa cadangan pindaan undang-undang yang bersesuaian di parlimen untuk menghalang aktiviti melompat parti dan jual-beli kerusi ini dari berlaku.

Jika perkara ini tidak dilakukan, buatlah 10 kali pun PRN atau PRU, namun apa yang dikatakan mandat rakyat itu tidak akan dapat dipertahankan kerana selepas pilihanraya seseorang wakil rakyat itu secara individu berkuasa untuk ‘menjual’ kerusinya pada parti lain.

Penulis percaya dan yakin pada masa ini semua parti baik dari blok kerajaan atau blok pembangkang pasti sebulat suara akan menyokongnya. Penulis benar-benar yakin!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah Melaka

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak 14 Ogos 2020. 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)