Home Berita PAS Melaka

Rencana : Tip mengawal emosi marah untuk mahasiswa

952
SHARE

Oleh : Zill Qayyim

“TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya”

Demikian perumpamaan yang berpesan supaya kita berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata terutamanya apabila sedang marah. Apabila marah, biasanya kita akan hilang pertimbangan dan mengeluarkan kata-kata yang di luar dari ruang waras pemikiran seseorang manusia.

Sebagai seorang mahasiswa, kemarahan semasa menjalani tanggungjawab pelajar juga tidak terlepas daripada fenomena ini. Banyak alasan yang boleh membuat anda kehilangan kawalan terhadap emosi dan “meledak” di bilik kuliah. Tekanan tugasan daripada pensyarah, stress berpanjangan, dan rakan sekelas yang tidak memberi kerjasama adalah antara faktor yang memacu ke arah kemarahan anda.

Simptom yang akan muncul ketika anda marah adalah degup jantung yang meningkat naik, wajah terasa panas dan rahang menjadi tegang. Ada di antara kita yang melampiaskan kemarahan dengan memukul meja, menendang pintu, dan ada juga yang menghantar ‘angry whatsapp’ dengan cara menyindir bahkan boleh menyebabkan ketegangan sesama rakan.

Apapun ‘trigger’ dan bentuk zahirnya anda menunjukkan kemarahan, perkara pertama yang harus anda sedari ialah kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah yang sedia ada, malah akan menyebabkan masalah baru timbul kerana dalam sedar atau tidak, anda mungkin boleh mengeluarkan kata-kata nista yang tidak sepatutnya.

Menurut kajian Sandra Thomas, penyelidik dari University of Tennessee, Knoxville, ekspresi marah itu sendiri yang akan menimbulkan masalah terhadap kita berbanding kemarahan yang timbul dan harus ada batasan dalam mengungkapkan amarah.

Amarah yang timbul sepatutnya boleh dikawal, apatah lagi bila ia berlaku dalam lingkungan rakan sekelas. Selain timbulnya masalah baru, marah juga boleh menimbulkan stress yang seterusnya akan menyebabkan kurangnya prestasi dan produktiviti anda sebagai seorang pelajar. Ikuti langkah ini bagi mengawal amarah anda:

a) Antara cara mengelola kemarahan anda adalah dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul iaitu ketika anda merasa marah, jangan turuti kata hati atau bersifat defensif terhadap pemicu kemarahan.

b) Cubalah untuk berdiam diri dan menarik nafas perlahan-lahan kerana dengan cara ini akan menenangkan diri dan fikiran selain masalah tersebut dapat anda fikirkan penyelesaiannya.

b) Selain itu, cuba untuk membayangkan tempat-tempat yang cukup indah dan tenang kerana dengan cara ini akan memberikan suatu terapi yang cukup menenangkan.

c) Islam juga menekankan supaya kita mengambil wuduk dan bersembahyang untuk meredakan kemarahan.

d) Dengan bertanya kepada diri sendiri mengenai apa yang berlaku juga merupakan cara terbaik untuk menangani marah iaitu anda mungkin menyedari di mana silapnya dengan apa yang telah berlaku, selain menyedarkan diri kita.

e) Seterusnya, bayangkan jika anda yang berada di posisi yang telah membuat anda marah, di mana dengan cara ini, anda mungkin tidak terlalu marah dan melupakan sahaja apa yang telah berlaku.

f) Dari segi kesannya, anda harus pertimbangkan apa yang mungkin terjadi kepada anda setelah kemarahan tersebut dilepaskan, yang mungkin mengugat kredibiliti dan posisi anda sebagai seorang pelajar yang ingin menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Tepuk dada, tanyalah diri anda!

Penulis merupakan Pengamal Perhubungan Awam


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)