YB Abdul Latiff gesa kerajaan utamakan internet luar bandar sebelum perluas Dana USP
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman menggesa Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada usaha memperluaskan capaian internet di kawasan luar bandar sebelum memperluaskan fungsi Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) kepada tujuan lain menerusi Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026.
Beliau berkata, dana yang diwujudkan khusus bagi merapatkan jurang digital perlu terus dimanfaatkan untuk memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan komunikasi yang berkualiti, selaras dengan objektif asal penubuhannya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
YB Abdul Latiff menjelaskan Dana USP diwujudkan bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar tidak terus ketinggalan dalam menikmati kemudahan komunikasi dan akses internet yang berkualiti.
“Dana USP diwujudkan bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar seperti Kuala Krai, pedalaman Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti nelayan, pekebun kecil dan masyarakat yang selama ini terpinggir daripada pembangunan digital dapat menikmati kemudahan komunikasi yang setara.
“Selagi masih ada kawasan yang capaian internetnya lemah, keutamaan itu perlu diberikan terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, walaupun usaha memperkukuh keselamatan negara perlu disokong, setiap pindaan undang-undang hendaklah mempunyai sempadan kuasa yang jelas, mekanisme semak dan imbang yang kukuh serta menjamin perlindungan terhadap hak rakyat.
Beliau turut mempersoalkan cadangan memperluaskan penggunaan Dana USP bagi tujuan keselamatan negara kerana dana tersebut diwujudkan hasil caruman industri telekomunikasi untuk meningkatkan kemudahan komunikasi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Mengapa kerajaan tidak memohon peruntukan baharu melalui Belanjawan Negara jika benar keselamatan negara memerlukan dana tambahan? Mengapa dana yang diwujudkan khusus untuk pembangunan rakyat luar bandar kini mahu dialihkan kepada fungsi lain? Bukankah ini telah menyimpang daripada objektif asal penubuhan Dana USP?” ujarnya.
YB Abdul Latiff turut mengingatkan supaya kerajaan tidak membenarkan peluasan fungsi Dana USP sehingga menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya, selain menggesa mekanisme penggunaan dana, syarat pelaksanaan projek dan kaedah pemantauan diperincikan dalam akta bagi menjamin ketelusan serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Undang-undang bukan sahaja perlu adil tetapi perlu dilihat adil dan dilaksanakan dengan adil, barulah dipercayai dan diyakini rakyat,” tegasnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my