KelantanNegeri

Kelantan-JWN bincang kerjasama usaha inskripsi Wayang Kulit Kelantan

 


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 14 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Warisan Negara (JWN) mengadakan perbincangan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha menyenaraikan Wayang Kulit Kelantan di bawah Senarai Perwakilan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO, selain meneliti perkembangan status Resolusi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara negeri itu.

Perbincangan berkenaan berlangsung menerusi kunjungan hormat JWN yang diketuai Ketua Pengarahnya Mohamad Muda Bahadin ke pejabat Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor di Mabna Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.

YB Datuk Kamaruddin berkata perbincangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memelihara, memartabatkan dan memastikan kelangsungan Wayang Kulit Kelantan sebagai khazanah warisan yang mempunyai nilai sejarah, seni dan identiti yang tinggi.

Katanya, pemeliharaan warisan budaya tidak ketara itu juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor pelancongan budaya di Kelantan.

“Semoga segala usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memastikan warisan berharga ini terus dipelihara, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.

Sementara itu, JWN dalam hantaran di media sosial memaklumkan warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya lambang jati diri, identiti dan khazanah bangsa yang perlu dipelihara agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurutnya, dalam era pembangunan dan kemajuan yang semakin pesat, usaha memelihara warisan budaya menjadi tanggungjawab bersama supaya nilai, ilmu dan tradisi yang diwariskan tidak luput ditelan zaman.

“Jabatan Warisan Negara sentiasa komited memastikan setiap warisan negara, sama ada yang ketara mahupun tidak ketara, terus dipelihara, didokumentasikan, dilindungi dan dipromosikan agar kekal relevan serta dihargai oleh masyarakat.

“Warisan yang dipelihara hari ini merupakan legasi yang akan menjadi kebanggaan generasi akan datang,” katanya.

Tambahnya, sinergi erat antara jabatan itu dan Kerajaan Negeri Kelantan diyakini mampu memperkukuh usaha memartabatkan warisan negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memastikan seni, budaya dan warisan yang tidak ternilai terus hidup, berkembang serta tidak lapuk ditelan arus pemodenan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara JWN Dr Eyo Leng Yan, pegawai JWN serta wakil Kerajaan Negeri Kelantan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️