KelantanNegeri

23 usahawan IKS Guchil terima bantuan Skim Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan bernilai RM30,000


Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

KUALA KRAI, 8 Julai – Sebanyak 23 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di DUN Guchil menerima bantuan menerusi Skim Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan (SGBRK) 2026 melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30,000 sebagai usaha kerajaan negeri memperkasa usahawan tempatan agar lebih berdaya saing dan mampan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, skim berkenaan membantu memperkukuh operasi perniagaan usahawan dan menjadi pemangkin untuk meningkatkan hasil jualan serta mengembangkan perusahaan masing-masing.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan kerajaan negeri mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sektor keusahawanan sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian dalam media rasminya selepas menyampaikan bantuan Skim Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan kepada para penerima di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADN Guchil, semalam.

Katanya, para usahawan juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan, menguasai strategi pemasaran serta pengurusan kewangan agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang semakin kompetitif.

“Usahawan perlu berubah mengikut peredaran zaman bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa relevan serta mampu bertahan dalam pasaran yang lebih terbuka dan tanpa sempadan. Hanya peniaga yang berani, kreatif dan mempunyai strategi yang baik mampu meningkatkan jualan serta menarik kepercayaan pelanggan,” katanya.

Tambahnya, bantuan yang diberikan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada para penerima untuk terus memperkukuh perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di DUN Guchil.

Beliau turut berharap setiap usahawan memanfaatkan peruntukan yang diterima dengan sebaiknya bagi meningkatkan produktiviti, memperluaskan pasaran dan memperkukuh daya saing perusahaan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar Dato’ Md Anizam Ab Rahman atas peruntukan yang disalurkan kepada usahawan IKS di DUN Guchil.

Menurutnya, sokongan berterusan Kerajaan Negeri menerusi Skim Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan membuktikan komitmen dalam membina lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara berterusan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️