Pengurusan sistematik, kegigihan kunci kejayaan Koperasi Zulmas
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto:FB YB Dato’ Tuan Saripudin
KOTA DARULNAIM, 7 Julai – Pengurusan sistematik, pengalaman serta kegigihan lebih 30 tahun menjadi faktor utama kejayaan Koperasi Zulmas sebagai antara perusahaan penternakan ayam yang berjaya di Machang.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kejayaan perusahaan keluarga itu membuktikan usaha berterusan, pengalaman serta istiqamah mampu melahirkan perusahaan yang berkembang maju.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas mengadakan lawatan ke Koperasi Zulmas di Kampung Kemahang, Machang bagi meninjau operasi penternakan ayam, pada Isnin.
Menurutnya, hasil lawatan mendapati anak ayam berusia 14 hari membesar dengan baik dan dijangka boleh dipasarkan dalam tempoh kira-kira 20 hari lagi. Manakala ayam berusia antara 34 hingga 35 hari pula telah mencapai berat sekitar dua kilogram seekor.
Sumber: inforakyat.kelantan.my